TERKINI

Tun M Disiasat Atas Kenyataan Berunsur Hasutan, kata Polis

Mahathir Mohamad – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2023 – Polis menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas kenyataan yang dibuatnya mengandungi unsur menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Mahathir disiasat Unit Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman, di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes ini masih diperingkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat salah yang boleh mengganggu proses siasatan,” kata Mohd Suhaily, dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, Mahathir disiasat selepas kenyataannya disiarkan sebuah portal berita, pada 6 Jun lalu.

Peguam Rafique Rashid dalam satu kenyataan semalam berkata Mahathir dirakam percakapan di bangunan Yayasan Al-Bukhary selama kira-kira 30 minit.

Katanya, siasatan itu adalah berhubung penglibatan Mahathir dalam program dikenali Sidang Meja Bulat, Persidangan Proklamasi Orang Melayu bersama pemimpin parti politik Melayu lain, orang perseorangan dan NGO Melayu.

Turut dirakam kenyataan petang semalam adalah Setiausaha Proklamasi Orang Melayu Datuk Wira Marzuki Yahya dan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp