KUALA LUMPUR, 6 Sept 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa jika terdapat bukti beliau melakukan sebarang salah laku, laporan perlu dibuat kepada pihak berkuasa dan bukan disebarkan di media sosial.
Bekas perdana menteri itu berkata, pihak yang menuduh perlu mengemukakan dokumen pembuktian dan tidak sekadar bermain sentimen di media sosial menggunakan tentera siber semata-mata.
“Saya telah nyata sebelum ini jika betul semua itu saya lakukan, buat laporan secara terbuka, perlihatkan diri dan jangan bersembunyi dengan akaun-akaun media sosial palsu atau guna nama samaran.
“Saya bukan perdana menteri dan tak pegang apa-apa jawatan dan mereka yang dulu kata punyai berkotak-kotak dokumen tentang salah laku saya sehingga hari ini tidak tunjuk apa-apa bukti,” katanya, melalui hantaran di media sosial X miliknya, hari ini.
Mahathir berkata demikian mengulas hantaran yang menurutnya palsu konon beliau mengarah tekanan dilakukan ke atas seseorang untuk membuat kenyataan palsu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkongsian lain pula menunjukkan dokumen beliau menghubungi bekas Perdana Menteri Israel Ehud Barak meminta bantuan kewangan bagi menghadapi pilihan raya.
“Kedua-dua dokumen itu palsu dan telah diguna sejak penghujung 1990an sebagai propaganda untuk mempertahankan seorang pemimpin yang telah salah guna kuasa dan mempunyai masalah moral.
“Kedua-dua dokumen itu kini dikitar semula dan dikongsi di media sosial oleh pemegang akaun tidak bernama. Seperti mana di tahun 1990an, propaganda tanpa nama dan strategi baling batu sembunyi tangan oleh mereka yang pengecut berterusan,” kata Mahathir lagi.
Tegasnya, sehingga hari ini tiada laporan rasmi dibuat terhadapnya, susulan penyebaran bahan-bahan dokumen tersebut.
“Yang ada cuma dokumen palsu yang dikeluar oleh ‘cybertroopers’ yang kemudiannya disambut oleh penyokong-penyokong yang taksub.
“Jika dokumen itu benar, kenapa perlu sebar melalui media sosial dan mengguna akaun palsu? Laporlah pada pihak berkuasa jika tulen,” cabar Mahathir.
Pihaknya tidak menolak usaha itu semata-mata mahu mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.
“Adakah ini hanya usaha untuk alih perhatian daripada peristiwa-peristiwa yang menggusarkan, yang mendedah reformasi cuma slogan bukan satu pegangan.
“Cukup-cukuplah dengan sikap ‘pathological liar’ dan mulalah berkata benar,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com