TERKINI

Tun M Mulakan Tugas Penasihat SG4 di Kedah

Mahathir Mohamad dan Muhammad Sanusi Md Noor bersama pimpinan kerajaan negeri Kedah – foto Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 21 Sept 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad memilih negeri kelahirannya sebagai negeri pertama untuk dilawatinya selepas dilantik sebagai penasihat tidak rasmi gabungan empat negeri pembangkang (SG4) iaitu Kedah, Perlis, Terengganu, dan Kelantan.

Pengerusi Mobilisasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, bekas perdana menteri itu mengadakan pertemuan tertutup dengan barisan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Kedah di Seri Mentaloon selama lebih dua jam, semalam.

“Mahathir telah memberikan komitmen yang amat tinggi untuk terus membimbing negeri Kedah serta tiga negeri lain di bawah gabungan ‘SG4’ melalui pengalaman beliau membangunkan Malaysia pada suatu masa dahulu.

“Dalam masa yang sama beliau bertekad untuk melihat negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis membangun maju setanding dengan negeri-negeri maju lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” kata Khairuddin, dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Mahathir juga telah memberi taklimat tertutup pada kepimpinan kerajaan negeri Kedah mengenai perancangan pembangunan ekonomi di bawah gabungan ‘SG4’.

“Ini untuk membuktikan bahawa negeri-negeri gabungan ‘SG4’ yang diurus-tadbir oleh kepimpinan Melayu turut boleh maju secara cemerlang,” katanya.

Malah Mahathir juga mengingatkan gabungan ‘SG4’ untuk melaksanakan transformasi kepimpinan khususnya melawan rasuah dalam agenda bagi memperkasakan ekonomi secara lebih mantap

Tambahnya, pelbagai perancangan pelaburan turut dibincangkan di peringkat awal ini bagi membangunkan ekonomi negeri Kedah merangkumi sektor perindustrian, pelacongan, pertanian, infra-struktur, pendidikan serta beberapa bidang-bidang lain.

“Pada hakikatnya, negeri Kedah dan negeri-negeri gabungan ‘SG4’ mempunyai potensi yang amat tinggi kerana kaya dengan hasil-mahsul buminya cuma memerlukan tata kelola dinamis bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp