KUALA LUMPUR, 5 Okt 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau mengugut Timbalan Perdana Menteri yang juga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya membubarkan Umno atau berhadapan tindakan.
Mahathir sebaliknya mengakui beliau pernah menasihati Presiden Umno itu agar membubarkan parti tersebut kerana ia tidak mampu lagi diselamatkan
“Semasa perbicaraan Zahid beliau mendakwa saya mengugutnya dan akan didakwa kecuali jika jika membubarkan Umno. Saya tidak mengulas dakwaan itu kerana saya fikir saya tidak sepatutnya mengulas perbicaraan berkenaan melainkan saya dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Bekas ahli parlimen Langkawi itu berkata, beliau tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi membuat penjelasan tersebut.
“Tetapi saya tidak dipanggil. Sebaliknya peguam negara memutuskan untuk menawarkan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang bermakna mahkamah tidak dibenarkan memutuskan dakwaannya. Tetapi sebenarnya, dakwaan itu tidak sepenuhnya benar,” kata Mahathir.
Beliau turut menjelaskan, selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14, Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk datang menemuinya.
“Ketika itu beberapa ahli Umno termasuk Hamzah Zainudin meletak jawatan dalam parti dan menyertai Bersatu. Saya menjangkakan Zahid akan melakukan perkara sama. Tetapi dia bertekad mahu menghidupkan semula Umno.
“Saya beritahu dia Umno tidak boleh dihidupkan semula. Saya nasihatkan dia supaya bubarkan Umno. Setakat itu dakwaan Zahid adalah betul. Tetapi saya tidak ugut akan mendakwanya kerana menyelewengkan dana Yayasan Akal Budi,” kata Mahathir.
Beliau turut menegaskan tidak mengetahui berkenaan salah laku Zahid kerana ia merupakan urusan Peguam Negara (AG) ketika itu, Tommy Thomas.
Zahid turut menemuinya sekali lagi selepas didakwa di mahkamah, kata Mahathir.
“Dia membawa fail yang tebal. Dia dakwa dia tidak bersalah dan fail itu akan membuktikannya.
“Saya hanya beritahu dia untuk tunjukkan fail itu kepada hakim. Saya beritahunya saya tidak ada kuasa untuk melakukan apa-apa untuknya dan dia menarik balik fail itu,” kata Mahathir. – malayadaily.com