TERKINI

Tun Mahathir – Sikap Pemurah Orang Melayu Makan Diri

Mahathir Mohamad – foto youtube

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2023 – Kemurahan hati orang-orang Melayu di negara ini mengakibatkan etnik tersebut berhadapan ancaman kehilangan hak mereka sebagai pemilik mutlak Tanah Melayu, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana orang Melayu gagal menyaingi etnik-etnik lain yang telah diterima menjadi warganegara ketika kemerdekaan Tanah Melayu sekaligus mengakibatkan kumpulan pribumi itu ibarat melukut di tepi gantang di tanah air sendiri.

“Berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain, orang Melayu sangat pemurah. Tetapi satu-satunya keputusan yang ketara setakat ini ialah mereka menghadapi ancaman kehilangan hak mereka sebagai rakyat.

“Tidak mampu bersaing mereka akan menjadi golongan yang serba kekurangan di negara sendiri,” katanya, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Twitter miliknya, hari ini.

Berbeza seperti golongan pendatang di negara lain, khususnya negara ASEAN, Mahathir berkata, mereka berasimilasi dengan melasyarakat tempatan bukan sahaja bahasa tetapi juga dari aspek budaya masyarakat di negara berkenaan.

Negara-negara berkenaan juga tidak menuntut dikenali sebagai negara berbilang kaum dan tiada parti berpolitik berasaskan kaum yang ditubuhkan.

Namun di Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, pada ketika itu, orang Melayu menerima tuntutan golongan pendatang dan keturunan mereka untuk mengekalkan bahasa, budaya, dan sistem persekolahan.

“Mereka juga menubuhkan parti politik berasaskan kaum masing-masing, wujud perbezaan dan terpisah daripada pribumi bermakna mereka tidak benar-benar berintegrasi dengan negara yang mereka diami.

“Orang Melayu pula bersetuju menerima kehendak mereka kerana itu adalah syarat Kemerdekaan daripada British,” kata Mahathir.

Golongan pendatang terdahulu sebelum wujudnya sistem warganegara kata Mahathir adalah berbeza dengan pendatang yang datang kemudian.

Pendatang Cina yang menetap di Singapura, Melaka, dan Pulau Pinang ketika itu katanya dikenali sebagai Baba Nyonya dan menerima budaya masyarakat tempatan selain bertutur menggunakan Bahasa Melayu.

Manakala pendatang Arab, India Muslim dan Pakistan juga menerima budaya Melayu, adat dan tradisi, yang kemudiannya dikenali sebagai Melayu dan menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu, katanya.

Tetapi pendatang Cina dan India yang datang kemudian tidak mahu mengaitkan diri mereka dengan penduduk asal iaitu Melayu.

“Mereka mengekalkan hubungan mereka dengan negara asal mereka. Mereka mengekalkan bahasa dan budaya mereka sendiri. Pada hari kebangsaan Cina mereka juga mengibarkan bendera kebangsaan Cina dari tingkap kedai mereka.

“Mereka mungkin berbahasa Melayu tetapi bukan sebagai bahasa ibunda mereka. Sebutan perkataan Melayu mereka juga dipengaruhi oleh bahasa asalnya,” kata Mahathir.

“Lebih memburukkan keadaan, warganegara yang tidak berasimilasi dan keturunan mereka ini secara agresif mampu menyebabkan penduduk asal berada dalam keadaan serba kekurangan.

“Dalam kehidupan ekonomi, sosial dan politik mereka enggan berintegrasi,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp