TERKINI

UMNO Parit Pertikai Tindakan DAP Tarik Ahli Masuk Parti

Bekas pemimpin UMNO masuk DAP – foto Sinar Harian

IPOH, 24 Okt 2023 – UMNO Bahagian Parit merasa terkilan dengan tindakan Pengerusi DAP Parlimen Parit, Tarmizi Mohd Jam yang dilihat seolah-olah cuba merosakkan hubungan baik di antara UMNO dan DAP ketika ini.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai pemimpin yang pernah bersama Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), Tarmizi sepatutnya menarik pemimpin serta ahli parti pembangkang untuk bersama-sama dalam parti kerajaan.

“Sekarang ini parti-parti kerajaan dalam tempoh untuk menyesuaikan diri dan membina keserasian antara satu sama lain, bukan ambil kesempatan. Dalam tempoh ini sepatutnya kita menjaga sensitiviti, jangan cari publisiti. Jadi apa niat sebenar DAP Parlimen Parit ini?

“Saya tegaskan bahawa UMNO Bahagian Parit tidak langsung terjejas kerana ahli akar umbi tahu bagaimana pimpinan bahagian bekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, jika ada penyertaan mana-mana pemimpin UMNO Parit ke dalam DAP sepatutnya dimaklumkan kepada rakan pimpinan UMNO bahagian dan bukan membuat hebahan di media.

Sementara itu, Mohd Nizar menafikan bahawa UMNO Bahagian Parit tidak memberi ruang dan peluang kepada pemimpin akar umbi menyuarakan permasalahan rakyat.

Menurutnya, dua bekas pemimpin cawangan yang menyertai DAP itu memang ada jawatan dalam UMNO dan mereka boleh menggunakan kedudukan itu untuk menyuarakan pelbagai pandangan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua bekas pemimpin UMNO cawangan di Bahagian Parit bersama lapan lagi ahli parti menyertai DAP.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Cawangan UMNO Titi Gantung, Abdul Mukmin Abd Rashid dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pekan Parit, Rosman Esa menyerahkan borang keahlian kepada Tarmizi dalam satu majlis di Seri Iskandar, Parit pada Jumaat lalu. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp