TERKINI

Undang-undang Untuk Semua Raja Dan Rakyat – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto facebook TDM

KUALA LUMPUR, 2 Okt 2023 – Tiada pihak termasuk raja yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada undang-undang kerana ia merupakan peraturan yang digubal untuk mengatur kehidupan setiap lapisan masyarakat supaya menjadi lebih teratur dan tersusun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata, tiada pihak yang boleh menjadi lebih tinggi daripada undang-undang untuk membolehkan kehidupan masyarakat menjadi lebih selamat.

“Kalau buat undang-undang tubuh, tak peduli kita raja atau rakyat tetapi kita tertakluk kepada undang-undang tubuh.

“Kalau buat sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang tubuh tindakan boleh diambil terhadap diri kita, bila ada undang-undang tubuh masyarakat yang besar dapat ditadbir dengan baik,” kata Mahathir, dalam program mingguan bertajuk Minggu Negarawan di Yayasan Kepimpinan Putrajaya, di Putrajaya, baru-baru ini.

Mahathir berkata, sebuah masyarakat yang bertamadun memerlukan garis panduan dalam kehidupan untuk mengelakkan daripada berlakunya huru hara.

“Apabila masyarakat lebih besar, bertamadun mereka perlu kepada aturan peraturan. Ini dikenali sebagai undang-undang tubuh. Kita semua akan hormati, kalau tak hormat, huru hara akan berlaku. Kita boleh buat apa sahaja.

“Kalau dia buat salah ada undang-undang menentukan dia buat salah apa yang perlu dilakukan kepada dirinya, akan dituduh di bawa ke mahkamah, mahkamah akan tentukan sama ada dia buat salah atau tidak.

“Dengan itu masyarakat akan menjadi selamat dan stabil kerana ada undang-undang,” kata Mahathir lagi.

Undang-undang katanya adalah peraturan yang dibentuk dan tiada peraturan lain yang boleh mengenepikannya.

“Peraturan menjadi undang- undang dan kita patuh, dalam masyarakat bertamadun bila sudah bentuk undang-undang tubuh semua undang-undang lain tak boleh mengenepikan undang-undang tubuh,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp