TERKINI

Usaha Atasi Isu Kemiskinan Melayu Lebih Penting Daripada Anjur Rumah Terbuka – Tun M

Foto – sekretariat tanah air

PUNCAK ALAM, 16 Mei 2023 – Isu kemiskinan kaum Melayu sepatutnya diberi tumpuan berbanding penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam ketika Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Bandar Puncak Alam, kerajaan tidak seharusnya berasa seronok dengan mengadakan majlis rumah terbuka di enam negeri sedangkan masalah kaum Melayu terus terpinggir.

“Kita dapati kerajaan seolah-olah tidak nampak masalah orang Melayu, mereka berseronok, membuat rumah terbuka walaupun mereka berkata tak akan ada acara besar-besaran,” katanya.

Dr Mahathir juga memberitahu, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, majlis rumah terbuka Aidilfitri hanya diadakan sekali sahaja.

“Kenapa enam? Sebab nak tunjuk kepada rakyat supaya sokong dialah yang beri makan kepada orang ramai,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan, kebanyakan kaum Melayu di kawasan bandar masih dihimpit isu kemiskinan.

Sehubungan itu, katanya, kaum Melayu sepatutnya sama kaya dengan kaum lain selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.

“Tetapi hakikatnya ialah orang Melayu itu miskin sehingga kadang-kadang tanah milik mereka sekangkang kera mereka jual.

“Apabila kita menjual tanah, kita kehilangan punca pendapatan dan tidak mempunyai harta seterusnya semakin miskin,” jelas beliau. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp