TERKINI

Usaha Ketepikan Asas Negara Ini Wujud Sejak Sekian Lama – Tun M

Bicara Bangsa – foto kosmo digital

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wujud usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa, dan mahu mengenepikan asas negara ini yang menjadi milik orang Melayu.

Usaha itu katanya adalah serupa dengan agenda “Malaysian Malaysia” yang pernah di bawa Lee Kwan Yew, ketika 1964, bersama partinya, PAP.

“Bila kita tubuh Malaysia, Lee Kuan Yew bawa idea Malaysian Malaysia. Malaysia bukan hak orang Melayu tetapi semua rakyat Malaysia termasuk pendatang.

“Kita tahu PAP yang bertanding 1964 dikalahkan bermakna orang Malaysia menolak cadangan tanah Melayu dijadikan tanah pelbagai kaum.

“Tapi sekarang datang pula cadangan kononnya Malaysia bukan negara Melayu tetapi negara pelbagai kaum,” kata Mahathir, dalam program Bicara Bangsa di Shah Alam, pada 8 Julai lalu.

Memburukkan keadaan lagi, Mahathir berkata, orang Melayu tidak lagi boleh bercakap soal masalah mereka sesama sendiri.

“Bukan kita nak rampas harta orang, tidak, nak jaga masalah, nak tentukan masalah orang Melayu ditangani oleh kerajaan yang simpati kepada nasib orang Melayu.

“Sampai tahap orang Melayu nak cakap dengan orang Melayu pun masalah. Nak lancar proklamasi orang Melayu dikejar di sana, sini tak boleh nak lancar pun.

“Di negara orang Melayu jadi perdana menteri kita dapati orang Melayu tak dibenar bercakap. Adilkah? Adilkah alau orang Melayu di negara dia sendiri tak dibenar bercakap mengenai masalah orang Melayu?” kata Mahathir.

Sedangkan beliau membangkitkan, orang Melayu suatu ketika dahulu pernah bangkit menentang Malayan Union walaupun terdapat Sultan yang telah menandatangani perjanjian tersebut.

“British cuba nak buat Malayan Union, nak buat negeri Melayu dicantum dan jadi sebuah negara.

“Penduduknya bukan lagi Melayu tapi pelbagai kaum, penduduknya jadi pelbagai kaum. Kita berhempas pulas lawan, raja pun kita paksa tolak perjanjian yang sudah ditandatangani mereka,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp