TERKINI

Wajar Labur Dana KWSP, Bukan Digunakan Biaya Belanjawan Defisit Kerajaan – Profesor Ekonomi

Prof Laurence Kotlikoff – Foto Awani

KUALA LUMPUR: Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar digunakan sebagai pinjaman untuk membiayai belanjawan defisit kerajaan

Profesor Ekonomi Universiti Boston, Prof. Laurence Kotlikoff berkata dana tersebut wajar dilaburkan dengan membeli bon daripada negara asing seperti Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“KWSP perlu melabur di luar dan dalam negara. Dana KWSP tidak wajar digunakan sebagai sumber kepada kerajaan untuk meminjam wang. Ketika ini 40 peratus daripada dana KWSP dilaburkan dalam sekuriti pendapatan tetap.

“Saya jangkakan kebanyakan daripadanya adalah dalam bentuk bon kerajaan Malaysia. Saya berpandangan ia tidak wajar dilaburkan sedemikian, sebaliknya dilaburkan dengan membeli bon kerajaan Singapura, Amerika Syarikat atau United Kingdom.

“Pokoknya, dana itu tidak wajar digunakan untuk membiayai belanjawan defisit kerajaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Selain itu, Kotlikoff turut berpandangan dana KWSP perlu dilaburkan dalam pasaran saham luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman. Kepelbegaian portfolio pelaburan di pasaran yang berbeza akan membolehkan KWSP mencipta kekayaan untuk manfaat pencarum dengan lebih efektif.

“Dana KWSP juga wajar dilaburkan dalam setiap 6000 saham senaraian awam Amerika Syarikat, sama ada syarikat besar atau kecil. Laburkan dalam pasaran saham Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

“Ini memboleh Malaysia mempunyai kekayaan di seluruh dunia. Pastikan semua transaksi ini direkodkan setiap bulan. Dengan cara ini, pencarum akan rasa berbaloi dengan potongan yang dibuat keatas pendapatan bulanan mereka,” tambahnya lagi. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp