10 Januari – Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (WIRA PERKASA) mengecam sekeras-kerasnya program Glamping With Pride yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, kerana didakwa cuba menghalalkan aktiviti songsang di negara ini.
Menurut kenyataan media WIRA PERKASA, pihaknya mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat individu atau pihak yang menganjurkan program tersebut yang dianggap bertentangan dengan adat dan budaya rakyat Malaysia.
Ketua WIRA PERKASA, Zool Amali Haji Hussin (Bozz Jebat), menegaskan bahawa aktiviti sebegini sepatutnya diharamkan kerana negara ini menolak amalan songsang seperti LGBTQ. WIRA PERKASA juga meminta pihak penganjur membatalkan program berkenaan dan memastikan tiada lagi aktiviti seumpama itu diadakan di negara ini.
Selain itu, WIRA PERKASA menegaskan bahawa pemilik premis yang membenarkan program itu dijalankan turut harus dikenakan tindakan sewajarnya kerana didakwa cuba menghidupkan aktiviti tidak sihat di tanahair.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mengekalkan nilai budaya dan norma masyarakat. Aktiviti seperti ini tidak seharusnya diterima di negara kita,” tegas Zool Amali dalam kenyataan itu.
Terdahulu, Pemuda PAS Selangor juga mengecam penganjuran acara ini dan menuntut siasatan oleh pihak berkuasa. – malayadaily