TERKINI

Zahid Hamidi tiada mandat daripada akar umbi jadi Presiden UMNO – Isham Jalil

Isham Jalil – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Dis 2023 – Bekas ahli majlis tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi tidak ada mandat daripada akar umbi sebagai Presiden.

Beliau berkata, ia kerana Zahid tidak bertanding jawatan Presiden pada penggal ini dan hanya berpegang kepada kerusi tersebut kerana beliau sendiri telah memutuskan bahawa jawatan itu tidak dipertandingkan.

“Pada penggal ini Zahid sebenarnya tidak ada mandat daripada akar umbi sebagai Presiden untuk menentukan halatuju parti atau memecat-mecat ahli terutama yang menang.

“Ini kerana dia tidak bertanding jawatan Presiden pada penggal ini dan hanya berpegang kepada kerusi ini kerana dia sendiri telah memutuskan bahawa jawatannya ini tidak dipertandingkan, walaupun akar umbi UMNO rata-rata mahu jawatan tersebut dipertandingkan selepas kekalahan teruk UMNO dalam pilihanraya umum ke-15 yang lepas. Ujarnya.

Tambah Isham, keputusan tersebut dibawa ke perhimpunan khas di Dewan Merdeka di mana dua ribu perwakilan UMNO atau 0.1 peratus ahli UMNO bersetuju.

“Namun dia takut untuk bertanya 99.9 peratus lagi ahli UMNO di akar umbi yang tidak berada dalam dewan walaupun 99.9 peratus inilah yang biasanya menjadi pengundi-pengundi putih UMNO apabila pilihanraya. Kata Isham dalam satu kenyataan di laman sosial facebook, semalam.

Beliau yang dipecat oleh MKT UMNO baru-baru ini turut berkata, UMNO adalah parti keramat untuk orang-orang Melayu tetapi malangnya ketika ini Presidennya yang tidak mendapat mandat ahli telah membawa kapal UMNO ini ke kemudaratan dan telah kalah teruk beberapa kali dalam pilihanraya.

“Daripada 88 kerusi sepuluh tahun lalu, kepada 54 kerusi pada PRU-14, dan kepada 26 kerusi pada PRU-15.

“Pada PRU-14, UMNO telah kehilangan majoriti pengundi Malaysia. Pada PRU-15, UMNO telah kehilangan majoriti pengundi Melayu.

“Dan pada PRN enam negeri baru-baru ini selepas Presiden UMNO membuat keputusan untuk pergi pilihanraya bersama PH dan DAP, UMNO telah kehilangan majoriti (70-80%) akar umbi dan penyokong tegar UMNO. Ujar beliau. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp