Oleh Ruhanie Ahmad
Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segolongan parti politik dijangka melaksanakan “Aksi bertindak kepong demi Palestin” di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di Kuala Lumpur, selama enam hari, mulai 12.00 malam ini.
Matlamatnya yang tersurat adalah untuk bersolidariti dengan umat Palestin yang sedang berhadapan genosid dan kezaliman Israel di Semenanjung Gaza.
Ini menggambarkan niat positif penganjurnya untuk menegakkan prinsip keadilan serta kemanusiaan sejagat.
Namun, tindakan murni anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) ini juga mengundang beberapa persoalan berikut.
Persoalan pertama, kenapakah tindakan “pengepongan” ini perlu berlangsung selama enam hari dengan majlis kemuncaknya pada 31 Disember 2023?
Adakah ini mencerminkan bahawa Kementerian Luar Malaysia sudah ketandusan kebijaksanaan diplomatik (diplomatic wisdom) untuk menentang genosid dan kezaliman Israel di Palestin?
Adakah ini membayangkan Kementerian Luar seolah-olah merestui tindakan “kepong” tersebut?
Kenapakah Kementerian Luar atau Wisma Putra juga tidak memanggil Duta AS di Kuala Lumpur untuk menyampaikan pendirian mutakhir serta bantahan keras Malaysia terhadap AS yang menyokong genosid Israel di Palestin?
Persoalan kedua, adakah penglibatan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tindakan ini menggambarkan bahawa mereka direstui oleh kementerian bertanggungjawab?
Persoalan ketiga, adakah keterlibatan NGO dalam tindakan ini dibiayai oleh anasir tertentu, dan adakah keterlibatan parti politik pembangkang pula merupakan suatu kebenaran yang hakiki, bukannya propaganda?
Persoalan keempat, kenapakah tindakan “kepong” ini perlu membabitkan perkhemahan serta siri ceramah selama enam hari di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur?
Bukankah perkataan “kepong” ini seolah-olah mirip perkataan “occupied” sewaktu Arab Spring di beberapa negara Asia Barat dan Afrika Utara; beberapa tahun lalu, yang ditaja oleh kuasa Barat tertentu?
Tidakkah perkataan ini juga boleh ditafsirkan oleh AS sebagai tindakan mengepong kedutaannya di Kuala Lumpur?
Persoalan kelima, bagaimana jika tindakan “kepong” ini adalah operasi hitam atau operasi bendera palsu yang akan dieksploitasikan oleh anasir asing untuk mencetuskan huru-hara bagi mempertahankan Pentadbiran PMX yang dikatakan sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen Malaysia?
Persoalan mengenai operasi bendera palsu ini bukan berasaskan teori konspirasi. Ini adalah hakikat yang sudah terbukti di merata dunia.
Ini kerana sesetengah kuasa asing memang gemar melakukan operasi bendera palsu untuk menghuru-harakan negara yang mempunyai kepentingan geopolitik kepada mereka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengabsahkan tindakan seperti ini atas prinsip keadilan, kemanusiaan, dan pemuliharaan keamanan atau peace-keeping sejagat.
Operasi bendera palsu ini pernah berlaku di Eropah Timur, Afrika Utara, Asia Barat, dan di Asia Tenggara; dan kini menjadi bahan kajian yang meluas di kalangan sarjana keselamatan antarabangsa.
Lima persoalan di atas juga menimbulkan beberapa kemungkinan strategik yang luas implikasinya, seperti berikut.
Satu, bagaimana jika tindakan di atas jadi tidak terkawal sehingga menyebabkan AS terpaksa melindungi rakyat dan kepentingan nasionalnya di Malaysia menerusi pendekatan yang menjejaskan keselamatan dan kedaulatan Malaysia?
Persoalan ini juga bukan berdasarkan teori komspirasi. AS memang pernah bertindak sedemikian di Afghanistan dan Iraq untuk melindungi kepentingan geopolitiknya dan kepentingan pengeluar minyak AS di Asia Barat dan Asia Tengah.
Lantas, tindakan seperti ini juga mungkin berlaku ke atas Malaysia sebagai negara pesisir utama kepada Selat Melaka yang penting kepada pengangkutan minyak dan pengangkutan perang AS.
Ia juga tidak mustahil sebab Malaysia negara pesisir utama yang mewarisi rizab minyak dan gas yang terbesar di Laut China Selatan; dan perairan ini juga strategik kepada persaingan kuasa AS dengan China di rantau Asia Pasifik.
Sehubungan di atas, SSP dan kerabat NGOnya wajar berwaspada terhadap seluruh persoalan ini, khususnya ketika Malaysia sedang menghadapi beberapa perkembangan yang boleh mengancam keselamatan nasional, kedaulatan negara, dan kelangsungan sosio-ekonomi rakyat jelatanya.
Seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap implikasi tindakan ini pula perlu nasihatmenasihati satu sama lain dan berusaha untuk menghalangnya, agar kita semua terselamat daripada sebarang ancaman atau bencana, kerana hingga setakat petang tadi, tindakan berkenaan belum mendapat permit Polis.
Datuk Dr Ruhanie Ahmad adalah penganalisis keselamatan nasional Malaysia sejak 2011
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com