
Cadangan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, agar bahasa Mandarin dan Tamil diperkenalkan sebagai subjek di sekolah kebangsaan, sepatutnya dilihat sebagai langkah positif untuk mengukuhkan perpaduan nasional.
Logiknya mudah – semakin ramai pelajar memahami bahasa ibunda masyarakat lain, semakin mudah untuk mereka berinteraksi dan mengurangkan prasangka antara kaum.
Namun, cadangan itu segera mendapat reaksi keras daripada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (DAP). Beliau menempelak PAS dengan sindiran bahawa jika ikhlas, parti Islam itu patut terlebih dahulu melaksanakan pengajaran Mandarin dan Tamil di pra-sekolah PASTI sebelum mencadangkan dasar di peringkat nasional.
Di sinilah timbul persoalan: mengapa reaksi beliau begitu defensif, malah hampir bersifat sinis?
Hakikatnya, bantahan Lim mendedahkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar perdebatan pendidikan. Ia menyentuh soal politik identiti.
Selama ini, DAP sering mengangkat isu sekolah vernakular sebagai lambang perjuangan mengekalkan bahasa ibunda masyarakat bukan Melayu. Tetapi apabila PAS mencadangkan bahasa ibunda itu dibuka kepada semua di sekolah kebangsaan, DAP tiba-tiba kelihatan tidak selesa.
Ironinya, jika bahasa Mandarin dan Tamil boleh diajar secara meluas di sekolah kebangsaan, bukankah ia satu bentuk pengiktirafan terhadap bahasa tersebut? Mengapa pula perlu digelabah?
Satu analisis lain boleh dibuat: DAP mungkin bimbang sekiranya cadangan itu berjaya, nilai politik sekolah vernakular sebagai alat rundingan akan berkurang.
Selama ini, keistimewaan sekolah Cina atau Tamil sering dijadikan “modal politik” untuk menuntut pengaruh. Tetapi jika sekolah kebangsaan juga mampu menawarkan penguasaan bahasa yang sama, monopoli itu akan tergugat.
Dalam konteks ini, bantahan Lim Lip Eng bukan sekadar soal silibus, tetapi soal persaingan idea – siapa sebenarnya lebih ikhlas mengangkat perpaduan.
Lim juga menuduh PAS hanya pandai beretorik di pentas. Namun, tuduhan itu kelihatan tergesa-gesa. Cadangan Tuan Ibrahim mungkin belum berbentuk dasar, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka ruang perbincangan yang sihat. Malangnya, reaksi Lim lebih menjurus kepada menutup ruang tersebut dengan sindiran.
Cadangan memperkenalkan Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan wajar dinilai secara rasional, bukan melalui lensa politik sempit.
Jika benar DAP memperjuangkan perpaduan, ia seharusnya menyambut baik langkah ke arah integrasi bahasa, bukannya menolaknya dengan alasan yang kelihatan remeh.
Reaksi Lim Lip Eng, sebaliknya, hanya mengundang tafsiran bahawa beliau – dan mungkin juga partinya – tidak bersedia kehilangan kelebihan politik dalam isu bahasa dan sekolah vernakular. – Editor