TERKINI

Anwar dah gagal, pembangkang pula hilang

Gambar hiasan – foto arkib

Perkembangan politik mutakhir ini penuh dengan pelbagai keganjilan dan kontroversi. Dari isu penolakan sekolah-sekolah vernakular terhadap inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memperkemas modul pendidikan Bahasa Melayu, masuk pula kontroversi lawatan tentera laut China di sekolah vernakular Pulau Pinang.

Kontroversi berlanjutan dengan isu kibaran bendera China di Teluk Intan dan Johor Bahru, tak henti disitu, timbul pula isu permohonan maaf Najib dan keterbukaan Anwar menerima permohonan maaf tersebut tak sampai 24 jam.

Semua itu belum cukup, sekutu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador yang terpalit dengan isu saham Hitech Padu bernilai ratusan juta ringgit, juga muncul ditengah-tengah kempen tatakelola Anwar, tetapi terus senyap.

Pentadbiran Anwar ini sememangnya masih bergelut dengan pelbagai isu dan masalah yang tak kunjung selesai sejak hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Isu-isu ini seolah-olah selesai hanya kerana ia tidak lagi dilapor atau pengkritik sudah lelah untuk menopang pelbagai isu-isu itu dikhalayak.

Jika ingantan kita masih waras, isu berkaitan BlackRock, masih tidak selesai. Ianya senyap, selain Wan Fayshal, kita tak mendengar isu ini dibangkitkan lagi. Begitu juga dengan persoalan berkaitan isu Ambalat, juga senyap, malah isu mengenai janji Peguam Negara untuk memberikan penjelasan lengkap mengenai ‘Dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) Zahid Hamidi, pun senyap, pun tiada pemimpin pembangkang membangkitkannya.

Begitu juga dengan isu dakwaan Anwar memiliki bukti kesalahan Tun Mahathir juga senyap, isu membabitkan dakwaan terhadap Azam Baki, juga senyap, hilang jejak.

Semua ini tidak pernah berjaya diselesaikan oleh Anwar, tetapi berjaya disenyapkan oleh Anwar. Mereka hanya mampu menunda masa, dengan harapan ianya terus senyap dan dilupakan oleh orang ramai.

Namun, semua keganjilan politik ini tidak lengkap tanpa menyedari akan ketumpulan, kelemahan dan kecacamarbaan politik di sebelah pembankang.

Di sebelah sini pula, tentangan politik kelihatan tidak bermaya. Pelbagai isu dan kontroversi yang ada, tidak ditangani secara teratur, tidak ada jelajah ceramah seperti mana isu 1MDB sebelum ini. Tidak ada sesi libat urus untuk merangka strategi kempen memberi pencerahan kepada rakyat. Tak ada, atau belum berlaku.

Adakah kerana sumber dana telah ditutup hingga pimpinan dan parti tidak mampu bergerak walau sedepa? atau kerana semua pemimpin pembangkang dirantai kakinya kerana berhadapan dengan pelbagai tindakan undang-undang? atau kedua-duanya?

Banyak persoalan timbul dengan keadaan ini, keluhan, kemarahan dan pertanyaan muncul disegenap lapisan penyokong yang terus menerus bertanyakan masalah ini.

Kalau kita lihat perbahasan di Dewan Rakyat, hanya hingar bingar dengan jerit pekik Ahli Parlimen di kedua belah pihak. Belum ada perbahasan yang tersusun mengenai sesuatu isu termasuk hal ehwal belanjawan yang baru dibentang.

Kita harus faham bahawa sistem demokrasi ini bergerak. Ia memerlukan pemainnya bergerak dan bertindak, bukan menjadi penonton konsert orkestra. Demokrasi tanpa penggerak, ia lumpuh, ia bukan lagi demokrasi.

‘Pergerakan’ politik seperti juga sebuah konsert, ia memerlukan iringan orkestra yang betul supaya nada, melodi dan lirik dapat disampaikan kepada pendengar yakni pengundi dengan kadar yang jelas dan berkesan. Jika mahu menjadi penonton, maka tidak akan ada konsert.

Setiap orkestra memerlukan maestro atau konduktor. Konduktor ini mesti ke hadapan dan memberi koman. Pemain muzik pula perlu mengikut koman konduktor. Itu orkestra, itulah demokrasi.

Ketika pendapat ini ditulis, kita tidak tahu siapa menunggu apa. Adakah Muhyiddin menunggu Mahathir? atau Mahathir menunggu Haji Hadi? atau Haji Hadi menunggu Pengerusi PN untuk bertindak? Kita tak tahu, atau belum pernah tahu.

Apakah kita lebih suka menjadi penonton? yang dengan redha menunggu hingga menjadi batu? Tepuk dada, tanya selera.

Sekian

Editor

Facebook
Twitter
WhatsApp