TERKINI

Bersatulah kita di bawah ‘Proklamasi Orang Melayu’

Hari ini kalau kita ke mana-mana, akan terdengar mula-mula rungutan tentang situasi dan nasib orang Melayu hari ini, kemudian timbullah sahutan supaya orang Melayu perlu bersatu. Maka seterusnya akan timbullah pula persoalan siapa yang hendak menerajuinya.

Kita memang tidak miskin pemimpin-pemimpin Melayu, namun siapa yang layak untuk diangkat sebagai seorang yang dihormati dan diikuti oleh pemimpin-pemimpin dan semua orang Melayu? Kerana ramai pemimpin-pemimpin Melayu yang merasakan diri sendiri lebih layak disamping agenda peribadi dan kumpulan masing-masing.

Sesungguhnya masih tiada satu pun pemimpin Melayu hari ini yang dapat menandingi aura dan kehebatan kepimpinan yang ada pada Tun Dr Mahathir Mohamad, lebih-lebih lagi beliau masih sihat dan tajam fikiran.

Namun hakikatnya kita tidak boleh bergantung kepada Tun Dr Mahathir sampai bila-bila, akan timbul satu hari nanti seorang pemimpin yang akan layak memimpin orang Melayu. Semuanya akan berlaku pada masanya, ini adalah ketentuan yang telah ditetapkan.

Oleh itu pada hari ini, perkara yang lebih besar yang harus di buat oleh seluruh pemimpin-pemimpin Melayu dan orang Melayu ialah menyatukan semua orang Melayu. Buktikan kesungguhan ke arah penyatuan, bukan sekadar retorik sahaja.

Walaupun tidak secergas seperti sebelumnya, Tun Dr Mahathir masih sihat dan berfikiran tajam. Dan beliau telah menyediakan sesuatu yang boleh orang Melayu gunakan untuk penyatuan Bangsa, iaitu “Proklamasi Orang Melayu”.

Maka ketepikan dulu berbalah siapa yang lebih layak memimpin orang Melayu, hentikan juga segala retorik. Bersatulah Bangsa di bawah “Proklamasi Orang Melayu”.

-tamat-

Azman Mohd Hashim SM, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp