TERKINI

Doa Buat Rakyat Malaysia

gambar hiasan – foto Oh Media

Kita telah memasuki minggu terakhir ramadan, hanya beberapa hari saja lagi kita akan menyambut 1 syawal. Terasa, masa berjalan terlalu pantas, banyak urusan yang masih tertangguh malah amal ibadah ketika ramadan juga masih banyak perlu diperbaiki dan ditingkatkan.

Tahniah kepada mereka yang masih istiqomah menjalankan ibadat sunnah yang amat dituntut iaitu solat sunat tarawih, jangan kita lupa, bulan ini juga menuntut kita untuk terus memperbanyakkan doa dan bersedekah.

Dalam sibuk menjalankan ibadah puasa dan persiapan menyambut hari raya, pelbagai perkembangan semasa yang penuh dengan warna-warni.

Bermula dari pesanan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan baginda tentang perpecahan dikalangan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik yang akan membuatkan umat Islam terus lemah di negara ini.

Kebimbangan Tuanku ini amat berasas dan ia senada dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang juga menzahirkan kebimbangannya terhadap masa depan bangsa, agama dan negara ini.

Kita mahu keharmonian rakyat dalam negara ini dikekalkan dan pada masa yang sama, masa depan orang Melayu tidak diperjudikan oleh sesetengah pihak hanya kemaruk nak berkuasa.

Titah baginda Tuanku Sultan Selangor ini harus membuka mata kita semua.

Bercakap tentang nasib orang Melayu hari ini, kita terus mendengar keluhan dan rintihan para peniaga Melayu. Sekurang-kurang, terdapat dua laporan satu di Shah Alam dan satu lagi di Senawang apabila tinjauan media mendapati keadaan ekonomi, indah khabar dari rupa.

Ramai peniaga Melayu di bazar ramadan dan bazar raya mengeluh tentang peningkatan harga barangan yang sukar dibendung hingga memberi kesan kepada pelanggan dan kurangnya sambutan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini membuktikan bahawa keadaan ekonomi semasa, masih tak berubah malah bagi sesetengah peniaga, ia semakin memburuk. Hingga kini, kerajaan masih gagal memulihkan keadaan. Sebaliknya Perdana Menteri dilaporkan baru-baru ini memohoan agar diberi lebih masa untuk memulihkan kembali keadaan agar menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, kes-kes rasuah terus berlaku dan yang terbaru melibatkan sendiri pentadbiran kerajaan Madani apabila pegawai Menteri Sumber Manusia telah ditahan untuk siasatan kes rasuah. Kita belum tahu apa sebenarnya yang berlaku dan kita harap, ada tindakan yang konkrit untuk menangani skandal ini.

Cuaca dipenghujung ramadan ini juga semakin panas, sudah ada peningkatan indeks pencemaran udara (IPU) yang tidak sihat dibeberapa kawasan dan negeri. Ini adalah amaran kepada kita agar sentiasa bersiap siaga menghadapi badai jerebu pada bila-bila masa.

Kita sentiasa berdoa agar rakyat dinegara ini diberi perlindungan dan kekal tabah menghadapi sebarang dugaan yang silih berganti.

Kita sentiasa mengharapkan keadaan akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ayuh, kita tingkatkan usaha dan terus berdoa.

Sekian

Editor

Facebook
Twitter
WhatsApp