TERKINI

Hak Beri Pengampunan Adalah Budi Bicara Agong, Umno Tidak Wajar Campurtangan

foto utusan malaysia

Keputusan mesyuarat MKT UMNO malam tadi (kelmarin) yang sebulat suara bersetuju untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh terhadap Najib Razak yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta adalah sesuatu yang paling tidak wajar sama sekali.

Dalam sejarah penubuhan UMNO, inilah keputusan paling pelik dan tidak munasabah yang pernah diputuskan.

Pertama, sebagai parti Melayu terbesar dan baru saja selesai memilih kepimpinan baru, parti itu sepatutnya membuat ketetapan yang penting untuk agenda orang-orang Melayu, bukan mengutamakan kepentingan seorang individu yang sudah disabitkan bersalah dengan keputusan majoriti 13-1.

Ternampak dalam hal ini, UMNO tidak lagi mengutamakan nasib orang Melayu teramai yang masih susah kebanyakannya, sebaliknya agenda Najib lebih besar daripada segala-galanya.

Kedua, daripada hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan mahkamah terbadap Najib, beliau belum pun sampai setahun menjalani hukuman tersebut.

Kenapa tidak ditunggu sehingga Najib menjalani satu pertiga atau separuh hukuman penjara atau di hujung tempoh baru berbuat demikian?

Ketiga, kesalahan Najib dalam kes SRC International adalah berkaitan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram dan ini adalah suatu kesalahan jenayah yang serius.

Dengan memohon agar Agong memberi pengampunan penuh, sikap dan pendirian UMNO terhadap amalan rasuah dengan sendirinya akan menjadi momokan serta pertikaian rakyat.

Jika UMNO menentang dan membenci amalan rasuah, mereka patut malu untuk menghantar memorandum kepada Agong bagi pengampunan penuh Najib itu.

Keempat, asas dan sandaran dalam hal ini hanya semata-mata kepada hujah salah seorang hakim, Abdul Rahman Sebli yang didapati bertentangan dengan keputusan majoriti.

Kenapa hanya pandangan seorang hakim diambil kira dan bagaimana dengan hujah 13 hakim lain, termasuk Ketua Hakim Negara yang mendapati Najib bersalah dalam kes SRC International itu?

Kepada UMNO, sejak bila ilmu matematik sudah berubah dengan nombor 1 lebih besar daripada 13?

Keempat, hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadap Najib adalah keputusan mahkamah yang perlu dihormati oleh semua.

Dengan memohon pengampuan penuh yang terlalu, apakah UMNO sebenarnya menolak keputusan mahkamah dan menolak sistem kehakiman?

Kelima dan paling penting sekali, kuasa Agong untuk memberi pengampunan berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah atas ihsan baginda selaku ketua negara.

Ini bermakna, ia adalah hak serta budi bicara baginda untuk memutuskannya, tanpa perlu ada campurtangan, apa lagi desakan daripada pihak lain.

Lebih tidak wajar jika campurtangan dan desakan itu datang daripada UMNO yang mempunyai kepentingan berkaitan dengannya.

Hello UMNO, hormat sikitlah kuasa dan budi bicara Agong dan jangan cuba-cuba nak campur tangan atau melakukan desakan.

Keenam, kenapa hanya Najib yang UMNO perjuangkan untuk diberi pengampunan penuh?

Kenapa tidak pesalah-pesalah lain yang ada dalam penjara, bahkan yang lebih lama menjalani kehidupan terkurung berbanding Najib turut diperjuangkan pengampunannya oleh UMNO?

Ketujuh, jika UMNO dibenar memohon kepada Agong untuk pengampunan penuh buat Najib, walaupun belum setahun menjalani hukuman penjara, ini bermakna pihak lain juga dibolehkan menghantar memorandum agar bekas Perdana Menteri kekal dipenjara sebagaimana hukuman 12 tahun yang telah dijatuhkan kepadanya.

Kalau ditanya seluruh rakyat Malaysia atau dibuat referandum terbuka, berapa ramai sebetulnya yang mahu Najib dibebaskan awal berbanding beliau dibiarkan menjalani hukuman penjara lebih lama?

Sejauh mana UMNO sedar akan hal ini? – sumber shahbudindotcom.net

Shahbudin Husin

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp