TERKINI

Integrasi di Malaysia telah gagal

Etnik bukan Melayu, misalnya Cina rata-ratanya didapati tidak berjaya berintegrasi ke dalam struktur sosiobudaya etnik Melayu selaku penduduk asal negara ini, walaupun sudah hampir 70 tahun tertubuhnya negara ini.

Kegagalan ini sebenarnya adalah bikinan mereka sendiri yang enggan mengidentifikasi diri
dengan etnik Melayu yang juga adalah kelompok majoriti di sini. Antaranya dengan menerima bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dengan lebih jitu, iaitu cekap di dalamnya.

Sehubungan kegagalan ini, ia dapat dilihat dengan jelasnya pada banyak perkara yang dilakukan etnik bukan Melayu. Antaranya adalah apabila mereka menyarankan agar Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan datang dijadikan yang terakhir semenjak siri pertamanya pada 1965.

Dengan ini, mereka bukan sahaja mahu mencampuri ehwal etnik Melayu dalam soal ekonomi yang secara istimewanya diperuntuk kepada mereka pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Juga mereka ingin menggantikannya dengan yang tidak semata-mata menguntungkan etnik Melayu, tetapi semua etnik di negara ini, walaupun pada hak kepunyaan etnik Melayu.

Belum reda lagi bantahan etnik Melayu tentang saranan sosioekonomi itu, ia diikuti pula oleh cadangan agar perdana menteri negara ini ikut dilantik daripada kalangan etnik bukan Melayu. Walaupun ia tidak bercanggah dengan mana-mana perundangan negara, etnik Melayu yang rata-rata menguasai bidang sosiopolitik negara, didapati terkilan dengan cadangan ini.

Ini kerana etnik bukan Melayu, Cina misalnya, yang didapati liat sekali untuk berintegrasi ke dalam struktur sosiobudaya etnik Melayu, seperti yang dikehendaki pada integrasi sebagai proses penyatuan untuk pembentukan negara bangsa, kini ada hati untuk memimpin negara ini, lebih-lebih lagi etnik Melayu.

Cadangan ini yang juga dibantah keras etnik Melayu, cepat disusuli pula satu lagi cadangan sosiopolitik, iaitu untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Walaupun ia dihujahkan sebagai baik bagi melengkapi sistem demokrasi di negara ini, ia yang pernah diadakan pada satu ketika dahulu sebelum dimansuhkan pada 1965, didapati tidak pernah sesuai, lebih-lebih lagi pada masa ini, dan barangkali untuk selama-lamanya.

Ini kerana pilihan raya sedemikian didapati lebih banyak memecahbelahkan kita daripada
menyatupadukan dari segi kekauman. Justeru ia tidak patut diadakan lagi.

Kemudian adalah usulan agar jawatankuasa penelitian perundangan syariah ikut dianggotai etnik bukan Melayu. Seperti yang lain-lain itu, ia dibantah keras, malah dengan amat agresif sekali pada kali ini.

Ini kerana usulan sosiobudaya ini bukan sahaja dilihat sebagai kemuncakan keinginan etnik bukan Melayu mencampuri urusan etnik Melayu yang dilakukan secara bertubi-tubi dalam waktu yang singkat sahaja.

Juga ia dilihat sebagai ancaman paling berbahaya kerana sudah ada keberanian membabi buta selain kemahuan terdesak untuk ikut membuat keputusan dalam bidang yang amat eksklusif sifatnya kepada etnik Melayu, iaitu agama Islam mereka.

Selain ini, usulan ini juga dilihat sebagai biadap, malah amat kurang ajar sekali. Ini kerana etnik bukan Melayu didapati sudah amat melampau sehingga mahu bersama-sama dalam urusan akidah yang langsung tiada kena-mengena dengan mereka.

Sehubungan ini, mereka dilihat sebagai langsung tidak menghormati etnik Melayu dan umat Islam. Dalam pada itu, ia hanya ditarik balik setelah dianggap sebagai kekhilafan terhadap pihak istana apabila diberitahu bahawa usaha penelitian perundangan syariah itu diterajui Baginda Sultan.

Natijah di sini ialah bagaimana etnik bukan Melayu, khasnya Cina, tidak dapat memahami budaya etnik Melayu, khususnya aspirasi mereka, untuk mengetahui perkara sensitif yang tidak boleh sesekali disentuh, apatah lagi semacam mahu dicabuli, seperti agama Islam.

Ini pasti sebab integrasi yang gagal itu kerana sengaja tidak mahu dijayakan etnik bukan Melayu. Antaranya dengan tidak mahu menerima struktur sosiobudaya etnik Melayu untuk sekurang-kurangnya difahami, kalau tidak pun diamalkan.

Tanpa pemahaman tentang budaya Melayu, termasuklah Islam yang ikut dijadikan teras kepada Dasar Kebudayaan Negara, selama itulah kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan harmoni dalam erti kata yang sebenar-benarnya sebagai negara majmuk yang diterajui etnik Melayu.

Sebenarnya semua cadangan itu tidak perlu pun diutarakan. Ini kerana ia sesuatu yang wajib difahami, iaitu hak etnik Melayu di tanah asal mereka sendiri, selain boleh dijangka akibatnya, iaitu bantahan amat keras daripada etnik Melayu kerana hak mereka mahu dicabuli.

Sehubungan ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina disarankan agar bukan sahaja berhenti daripada melakukan bermacam-macam provokasi terhadap etnik Melayu melalui pelbagai usulan jahil lagi bebal. Mereka juga hendaklah mula belajar menghormati etnik Melayu sebagai penduduk asal, yang sepatutnya dilakukan pada hari pertama lagi apabila menjejakkan kaki di tanah etnik lain, iaitu Tanah Melayu ini.

Etnik Cina wajib mengetahui, malah harus diberitahu bahawa mereka sendiri memilih untuk terus menetap di Tanah Melayu ini. Oleh itu, mereka wajib tinggal di sini dengan mengikuti resam di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Ini bukan sekadar peribahasa Melayu sahaja, ia fitrah mana-mana kelompok yang mendatangi sesuatu tempat yang sudah ada tuan pemiliknya.

Dengan ini, etnik Cina sebagai minoriti di tanah watan etnik lain, disaran menjadi kelompok yang bukan sahaja baik. Juga bersedia untuk akur kepada segala hukum dalam kerangka struktur kuasa majoriti-minoriti.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong, Tokoh Akademik

Artikel ini telah diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 27 Feb 2024 bertajuk “Cina: Jadilah kelompok minoriti baik”

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp