TERKINI

Isu Gaji Progresif : Antara Daya Tahan, Peluang Pekerja Dan Harga Barang

Grafik malayadaily.com

Dalam keadaan negara di landa inflasi dengan kenaikan harga barang yang tinggi khususnya barangan keperluan asas, kenaikan gaji hanya akan melemahkan lagi nilai matawang ringgit dan bukannya penyelesaian.

Pada 9 Mei Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif untuk menggantikan model gaji minima.

Sebelum itu pada 8 Mei Perdana Menteri memaklumkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus.

Keadaan ekonomi semasa memerlukan dasar yang boleh membantu syarikat mengekalkan jumlah pekerja atau membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Dasar-dasar yang menaikkan kos operasi syarikat akan menjejas keuntungan syarikat dan berkemungkinan banyak majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja atau berisiko menutup terus operasi syarikat.

Samada model gaji minima atau pemberian gaji progresif atau kenaikan caruman KWSP majikan, kos operasi syarikat akan meningkat dengan keuntungan yang merudum. Malah banyak juga syarikat yang mengalami kerugian dan masih belum pulih dari kesan pandemik.

Masalah utama ekonomi negara ialah masalah kebergantungan kepada barangan impot yang menjejas harga barangan jualan terutamanya produk yang bergantung kepada bahan mentah impot contohnya baja untuk tanaman dan dedak untuk ternakan.

Kenaikan gaji akan dibebankan kepada pelanggan dengan harga jualan yang lebih tinggi.

Ekonomi negara perlu dipacu oleh Kerajaan dengan tumpuan dan hala tuju yang nyata supaya sumber negara yang terhad dapat di salurkan untuk memajukan industri-industri tempatan yang terpilih.

Apabila barangan dan produk tempatan yang di majukan dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan diekspot untuk pasaran dunia, permintaan untuk warga kerja tempatan akan meningkat dan pembayaran gaji yang setimpal dengan keuntungan syarikat dapat dinikmati. Industri perlu dipacu secara strategik.

Walaupun secara logik, pendapatan warga kerja perlu di naikkan sekurang-kurangnya bersamaan dengan kadar inflasi supaya rakyat tidak terbeban tetapi kesannya amat mudarat kepada ekonomi secara keseluruhan.

Kenaikan gaji adalah kos tambahan kepada kos operasi syarikat yang akan diselaraskan melalui kenaikan harga jualan barang atau perkhidmatan dan kitaran kenaikan harga ini akan terus meninggalkan kesan kepada kuasa beli.

Akibatnya ramai pekerja terpaksa diberhentikan kerja kerana majikan tidak mampu untuk terus membayar gaji yang bertambah, dengan permintaan jualan yang semakin kurang akibat kenaikan harga serta kuasa beli pelanggan yang semakin lemah.

Syarikat yang terpaksa menampung kenaikan kos akibat dari kenaikan gaji akan menaikkan harga produk mereka dan dengan kenaikan harga, jualan produk mereka tentunya akan terkesan.

Untuk menjamin peluang pekerjaan sentiasa terbuka dan pekerjaan sedia-ada terjamin, syarikat-syarikat harus berdaya tahan dan mampu meneruskan perniagaan dengan kos operasi yang rendah.

Sebab itu saya berpendapat kerajaan perlu memberi kelonggaran kepada syarikat untuk menentukan gaji yang perlu dibayar. Pelaksanaan kawalan gaji boleh di tetapkan hanya kepada industri yang terpilih yang telah dikenalpasti mendapat keuntungan besar.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang boleh menjamin pekerjaan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang boleh mengukuhkan atau memperkenalkan ekosistem industri tempatan baru supaya permintaan untuk warga kerja terus meningkat.

Setidaknya memperkenalkan dasar yang boleh meningkatkan permintaan dari ekonomi.

Apabila industri mencatat keuntungan dan berdaya saing, kerajaan bolehlah memperkenalkan gaji minima atau gaji progresif tetapi apabila syarikat-syarikat masih belum berdaya tahan dan belum kukuh dari segi keuntungan, kerajaan tidak patut memperkenalkan apa-apa dasar yang boleh menaikkan kos operasi yang pada akhirnya akan di bebankan kepada pelanggan dan menjejas kedudukan pekerja.

Armin Baniaz Pahamin – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp