TERKINI

Jangan samakan Tun Daim dengan skandal 1MDB oleh Najib

Najib Razak (kiri), Daim Zainuddin (kanan) – malayadaily.com

Tun Daim Zainuddin didakwa. Isterinya pun dihadapkan ke mahkamah.

Alasan pihak berkuasa ialah mereka gagal mengisytiharkan harta miliknya. Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim anggap itu satu kesalahan besar dan keduanya perlu dibawa ke mahkamah kononnya untuk dapatkan keadilan bagi pihak kerajaan.

Tun Daim dan isterinya – selepas ini anak-anak Tun Dr. Mahathir pula – dianggap sebagai penjenayah oleh kerajaan kerana memiliki beberapa syarikat, walaupun mereka mengusahakan syarikat itu sejak sekian lama. Bukan wujud sekelip mata.

Tun Daim terkenal sebagai ahli korporat yang berjaya ketika beliau belum dilantik sebagai Menteri Kewangan tahun 1984 lagi.

Dengan kata lain, dia berjaya dan kaya sebelum menjadi Menteri Kewangan. Dia diambil menyertai Kabinet kerajaan BN pimpinan Tun M kerana kepakarannya dalam bidang ekonomi dan menarik pelabur.

Beliau bukan orang politik. Beliau orang awam biasa yang terlibat seratus peratus dalam dunia perniagaan. Beliau membina legasi dan memperluaskan empayar perniagaannya dengan hasil usaha sendiri, bukan bantuan daripada mana-mana orang politik.

Tidak sebagaimana pemimpin politik sekarang, ada projek, ada bisnes dan kaya raya kerana bantuan orang politik. Mereka tidak tahu berniaga cara betul. Mereka kaya hasil korupsi. Ini tidak berlaku pada Tun Daim dan keluarga. Mereka benar-benar ahli perniagaan.

Oleh kerana keakrabannya dengan Tun M yang ketika sebagai Perdana Menteri, maka dia dilihat serong oleh musuh-musuhnya, kononnya dia kaya kerana bersengkokol dengan pemimpin politik. Itu tidak benar sama sekali.

Hari ini, Tun Daim yang sudah berusia lebih 80 tahun dengan fizikal yang uzur diheret ke mahkamah. Tujuannya adalah untuk memalukan beliau sekeluarga dengan pertuduhan jenayah.

Dengan berkerusi roda dan fizikal yang uzur, beliau menggagahkan diri ke mahkamah mempertahankan dirinya. Ada yang ketawa, ada yang sinis dengannya dan tidak kurang juga menyifatkan pertuduhan itu sebagai karma atas pertuduhan ke atas Najib Razak.

Di sini, musuh-musuh Tun Daim cuba mengelirukan rakyat. Kononnya, bagi mereka yang wajar didakwa dan dipenjarakan ialah Tun Daim, bukan Najib.

Bagi mereka, kononnya Najib dianiaya, tetapi rakyat tidak tahu Najib disabitkan dengan penyalahgunaan wang 1MDB.

Skandal 1MDB ini benar dan wujud. Ia melibatkan wang negara, wang rakyat yang diseleweng oleh beberapa pihak. Mereka hidup mewah, berjoli dengan wang ini. Tetapi, ini pula disanjung oleh rakyat.

Tun Daim, yang punyai syarikat dan tidak pernah terlepas bayar cukai dituduh pula penjenayah.

Inilah mainan politik bermusuhan satu sama lain. Tuduh menuduh perkara biasa. Apatah, lagi menipu rakyat dengan perancangan yang di luar akal.

Sepanjang lebih 80 tahun Tun Daim hidup, ada pernah dengar beliau terlibat dalam skandal penyalahgunaan wang? Ada dengar dia mencuri wang rakyat?

Bahkan, Tun Daim antara ahli perniagaan yang menyumbang ratusan juta ringgit kepada negara dan rakyat menerusi cukai.

Tapi, musuh politiknya cuba putar belit kononnya Tun Daim bolot seorang diri hasil kekayaan dan kononnya, dia sembunyikan harta kekayaan.

Namun, sepanjang lebih 80 tahun, ada kita dengar dia diburu oleh LHDN? Kalau tak dengar, maknanya dia mengikut undang-undang negara.

Oleh : Darmawangsa

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp