TERKINI

Kadar Sara Diri Beras Perlu Ditingkatkan

Lokasi penanaman padi di Malaysia – foto penulis

Sekiranya, Kadar Sara Diri beras terus menurun selari dengan trend tersebut, sudah pasti kebergantungan Malaysia kepada beras import akan meningkat.

Dengan itu, krisis bekalan dan harga beras yang di hadapi oleh Malaysia ketika ini bakal berulang, serta berpotensi menjadi lebih buruk di masa akan datang.

Justeru itu, usaha untuk meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara mesti segera di teliti, di perbetul serta di gandakan dengan melibatkan semua pemegang taruh di dalam industri padi dan beras negara.

Hanya ada dua cara untuk meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara iaitu; meningkatkan hasil (yield) padi, dan menambah keluasan kawasan penanaman padi.

Menurut data Kementerian Pertanian Malaysia, pada tahun 2019, keluasan kawasan penanaman padi di Malaysia berjumlah 681,559 hektar.

Daripada jumlah tersebut, 62% (425,613 hektar) adalah 12 kawasan Jelapang Padi negara yang terletak di beberapa buah negeri, iaitu: Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Secara keseluruhan, jelapang padi negara menghasilkan 62% dari jumlah pengeluaran padi negara, dan selebihnya (38%) di hasilkan oleh kawasan penamanan padi luar jelapang.

Untuk sekian lama, walaupun pelbagai inisiatif telah di laksanakan dengan melibatkan jumlah perbelanjaan besar berbillion ringgit, namun hasil padi negara menunjukkan trend yang agak mendatar tanpa peningkatan yang ketara.

Sebagai contoh. Di kawasan MADA Kedah, iaitu jelapang padi utama negara, dari tahun 2000 – 2019, hasil kasar padi telah meningkat dari 4.76 metrik tan/ hektar kepada 5.58 metrik tan/ hektar. Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.82 metrik tan/ hektar (17.2%) untuk tempoh masa 19 tahun, iaitu purata 0.9% setahun.

Maka, jika purata peningkatan 0.9% setahun tersebut di ambil sebagai penanda aras, dengan semua faktor tidak berubah (all things being constant), Malaysia akan mencapai Kadar Sara Diri beras 100% dari 65% dalam tempoh masa 35 tahun.

Adakah Malaysia mampu menunggu sekian lama untuk keterjaminan bekalan beras? Mungkin tidak, memandangkan bekalan beras global yang di jangka akan terus mengalami gangguan.

Di samping itu, usaha meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara bertambah sukar dengan keluasan penanaman padi yang berkurangan.

Ini berpunca dari beberapa sebab termasuklah; sawah padi di jual untuk pembangunan dan petani bertukar kepada tanaman lain.

Food and Agriculture Organization Corporate Statistical 2018 – foto Penulis

Sebagai contoh. Rekod Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan menunjukkan kawasan penanaman padi telah menurun dari 37,760 hektar kepada 10,927 hektar dalam tempoh 51 tahun (1972 – 2023).

Menurut data Jabatan Pertanian Sabah, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Sabah telah berkurangan sebanyak 14% (6,429 hektar) dalam tempoh 4 tahun (2018 – 2021).

Beberapa hari lepas, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di laporkan berkata bahawa Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar untuk pelaksanaan projek penanaman padi di Sarawak dan Sabah.

Ini akan dapat menangani isu berkurangan kawasan penanaman padi, dan seterusnya mengukuhkan usaha mencapai Kadar Sara Diri beras yang lebih tinggi. Namun begitu, pelaksanaan projek berkenaan sudah pasti akan mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil yang di inginkan.

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia akan terus berdepan dengan isu bekalan dan harga beras dari masa ke semasa, sehinggalah Malaysia dapat mencapai Kadar Sara Diri beras yang kukuh dan kurang bergantung kepada import beras.

Wan Azrain Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech 

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp