TERKINI

Kebebasan sistem pelajaran dan tanggungjawab moral

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

Ini reaksi yang menggunakan hujah lama. Isu sekolah vernakular dan keputusan mahkamah menunjukkan bahawa di Malaysia, kita bebas melaksanakan sistem sekolah dalam apa jua bahasa yang fikirkan.

Maksudnya di sini, undang-undang negara dan perlembagaan persekutuan tidak menyekat pembelajaran, pengajaran dan bahasa pengantar selain dari bahasa kebangsaan.

Ini menunjukan Malaysia sebuah negara yang bebas. Bebas kerana boleh diwujudkan sekolah yang tidak mengajar dalam bahasa kebangsaan, bebas juga dalam memilih memilih kaedah dan kandungan apa yang diajar walaupun di katakan menggunakan kurikulum sekolah kebangsaan.

Jadi banyak faedahnya di Malaysia dalam mengekalkan sistem vernakular. Ini tidak terdapat di semua negara di dunia. Kecuali di Malaysia.

Bukan hanya dari segi pendidikan, malah media/suratkhabar dalam bahasa vernakular juga dibenarkan. Di negara lain, tidak ada media/suratkhabar vernakular. Secara rasminya, media- suratkhabar, radio, televisyen menyiarkan dalam bahasa kebangsaan negara itu.

Hanya di malaysia terdapat kebebasan menggunakan bahasa vernakular. Akan tetapi kebebasan di malaysia yang diberi ke atas kaum bukan Melayu dalam mengekalkan bahasa dan budaya, serta nama mereka tidak dihargai. Malah dakwa tidak ada kebebasan dan keadilan di malaysia.

Jika kita menjadi warga negara di beberapa negara jiran kita, bahasa bukan pribumi pun ditindas, nama seseorang pun mesti mengikut nama budaya kebangsaan dam rasmi negara berkenaan. Nama pun di nasionalkan.

Namun dalam pembinaan negara bangsa, kita perhatikan bahawa pengekalan dan pelaksanaan sistem sekolah vernakular ini menunjukan satu sikap yang tidak mahukan perpaduan. Sudut itu menimbulkan sikap negatif terhadap pembinaan dan perpaduan negara bangsa oleh kaum-kaum berkenaan.

Kita akur kepada undang-undang dan perlembagaan. Tetapi sebagai warganegara kita juga boleh persoalan sistem tanggungjawab moral oleh kaum-kaum berkenaan sebagai warganegara Malaysia.

Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican : Profesor sejarah sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM). Beliau juga felo kanan Southeast Asia Research Centre and Hub di De La Salle University, Manila

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp