TERKINI

Kenapa hanya Melayu boleh jadi PM? – Bah.1

Gambar hiasan – foto Arkib negara

Fakta Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai penduduk berbagai kaum dan agama tidak boleh dinafikan. Seperti mana negara-negara lain di dunia ini, setiap rakyat Malaysia dijamin hak masing-masing mengikut undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semenjak merdeka tiada seorang pun rakyat Malaysia yang ditindas mahupun dinafikan haknya, setiap rakyat tidak mengira kaum dan agama bebas untuk membuat kekayaan dan mendapat pendidikan serta dijamin kehidupan yang aman dan tenteram.

Ini terbukti selama lebih enam dekad pentadbiran kerajaan dibawah perdana menteri Melayu, negara Malaysia membangun menjadi moden dan progresif dari segi infratstruktur, ekonomi dan status sosial.

Malaysia bukan seperti negara imigran Amerika Syarikat, Australia mahupun New Zealand. Sewaktu kedatangan imigran Eropah ke tanah Amerika Syarikat, penduduk asalnya hanya terdiri dari puak-puak yang mereka gelar “Red Indian”.

Puak-puak Red Indian ini tidak mempunyai struktur kerajaan yang sempurna dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara sebagai kerajaan yang berdaulat.

Imigran Eropah yang masuk ke tanah Amerika Syarikat ini terus mengambil tanah-tanah di bumi Amerika ini dan membuka sebuah negara akhirnya, tanpa menghiraukan hak-hak peduduk asal tanah Amerika tersebut.

Ini berlaku di seluruh benua Amerika dari Alaska di Utara sampai ke Argentina di Selatan. Begitu juga di Australia dan New Zealand, Orang Asli Australia dan Bangsa Maori di New Zealand tidak mempunyai struktur kerajaan yand diiktiraf mana-mana negara di dunia.

Situasi Malaysia adalah seperti negara China dan India. Negara yang mempunyai bangsa yang menduduki tanahnya dan mempunyai struktur kerajaan yang sempurna dengan undang-undang bertulis dan diiktiraf oleh negara-negara lain di dunia, umpamanya kerajaan China dan kerajaan-kerajaan di India mengiktiraf kerajaan Melayu sejak ribuan tahun dahulu.

Berbagai perjanjian dan dokumen antara kerajaan wujud sebagai bukti.

Malah penjajah British juga mengiktiraf kerajaan-kerajaan Melayu, wilayah yang betul-betul dijajah oleh British hanyalah Negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Berbagai perjanjian dimeterai antara kerajaan British dengan Raja-raja Melayu, menunjukkan kerajaan Negeri-negeri Melayu adalah kerajaan berdaulat.

Seperti mana India yang mempunyai berbagai daerah digabungkan menjadi negara India, kerajaan-kerajaan di Tanah Besar China bergabung menjadi sebuah negara Tengah (Chung Kwok) ataupun negara China.

Maka gabungan negeri-negeri Melayu yang masih mempunyai raja bersama Negeri-negeri Selat tadi, telah merdeka dengan nama Persekutuan Tanah Melayu yang kini dipanggil Malaysia.

Datuk nenek kita semasa dalam proses mendapatkan kemerdekaan, telah berkorban dengan membenarkan kerakyatan diberi kepada imigran-imigran yang berada di Tanah Melayu ketika itu walaupun sebahagian besar dari mereka tidak mempunyai kelayakan.

Sememangya tidak pernah ada niat datuk nenek kita hendak menyerahkan pemerintahan negara ini kepada bukan Melayu dan menjadikan Tanah Melayu ini negara berbilang kaum.

Dimanakah logiknya kalau orang Melayu generasi hari ini membenarkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kepada gabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Borneo yang dikenali sebagai Melaysia ini?

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp