Hampir dalam semua pertemuan bersama Tun Mahathir, beliau akan bercakap tentang masa depan politik orang Melayu, kadangkala dalam konteks ekonomi, agama, sejarah dan pendidikan. Lima perkara ini, seakan satu tiang seri yang tidak akan lari dari ungkapan mulut beliau.
Kadangkala, saya yang mendengar merasa lelah juga dengan tema atau dasar perbincangan ini. Tapi Tun, konsisten dan pasti akan ada benda baharu yang diungkap walau tema perbincangannya masih sama.
Mungkin ramai sudah mendengar, namun biar saya ulangi lagi. Tun sering mengimbau kembali bagaimana susahnya orang bukan Melayu sewaktu British memerintah. Namun kepayahannya tersebut hilang selepas negara merdeka dan ditadbir oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Orang-orang bukan Melayu ketika di zaman British, tidak berpeluang untuk membuka bank. Tetapi, selepas pentadbiran bertukar, mereka kumpulan pertama yang mendapat lesen untuk membuka bank.
Di zaman British juga, tanah dan ladang dimiliki oleh British sahaja, tetapi selepas merdeka, orang bukan Melayu boleh membeli dan memiliki tanah.
Begitu juga di zaman British, orang bukan Melayu tidak ada langsung peluang untuk bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Tetapi semuanya berubah setelah kerajaan baharu mengambilalih pentadbiran negara. Kini, sudah ada pegawai kanan kerajaan, bukan Melayu.
Malah, sekolah Cina tidak dibenarkan wujud semasa British memerintah. Ketika itu hanya ada sekolah Inggeris, Melayu dan agama. Tetapi, ia berubah setelah British keluar.
Justeru, apakah Tun ini masih dikatakan rasis? Nikmat apa lagi yang mahu didustakan?
Keluarnya Biritsh dari Tanah Melayu, maka bermulalah kemajuan demi kemajuan buat rakyat dan negara ini. Dari era 50an, hinggalah era 90an. Selama lebih 40 tahun itu, banyak pencapaian luar biasa yang dicapai.
Sayang, apabila negara semakin maju dan membangun. Dari miskin menjadi berada, orang semakin selesa. Selesa dengan benda dan kuasa khususnya pemimpin pemimpin Melayu, ramai yang mula gelap mata dengan wang.
Kemajuan yang dicapai itu tidak dilihat dari kerja keras sebaliknya mereka melihat jalan pintas untuk kaya dan berjaya. Mereka melihat punca datangnya wang menerusi jalan mudah iaitu politik.
Penemuan ini ibarat sebuah penemuan lombong emas atau telaga minyak di depan halaman rumah. Mulai saat itulah politik dan kuasa menjadi sumber rezeki dan kekayaan buat pemimpin Melayu.
Kekayaan, kemewahan dan pesona nama tidak pernah cukup, bermula era 2010, Najib mula menggunakan wang sebagai pemangkin kuasa politiknya.
Maka bermulalah era politik wang secara besar-besaran dan terbuka. Semua ini bermula kerana sifat tamak, tamak mahu kekal berkuasa, tamak mahu menjadi lebih selesa dengan perhatian pesona dunia.
Demokrasi di Malaysia bukanlah demokrasi yang tempang, sistem perundangan kita juga bukanlah terlalu lemah. Masalah kita di Malaysia bukan masalah sains roket yang begitu kompleks, sebaliknya masalah paling asas iaitu; nafsu TAMAK.
Semua manusia ada masalah ini, tak kira anda berkelulusan apa atau dari mana. Anda lelaki atau perempuan, anda marhaen atau bangsawan, rentas bangsa dan agama.
Tamak adalah nafsu yang didorong oleh kehendak yang mengatasi keperluan dan kewajaran. Masalah ini tak terbendung hingga ia merosakkan sistem nilai dalam negara dan institusi masyarakat.
Yang berkuasa, akan berbuat apa saja untuk kekal berkuasa termasuk menggunakan wang. Wang yang banyak diperlukan kerana ia adalah jalan yang paling mudah untuk membeli sokongan dan kesetiaan.
Jalan mendapatkan wang yang banyak ini tentulah dengan cara haram. Cara haram ini diperolehi dengan memanipulasi sistem yang ada, dari peringkat bawah, hinggalah ke atas.
Masalah di kampung hinggalah ke peringkat negara, semuanya berpunca dari nafsu tamak pemimpin. Ia menjadi ikutan semua peringkat masyarakat.
Ketamakan ini menjadi gambaran betapa kritikalnya politik dan demokrasi di Malaysia.
Untuk memilih pemimpin yang bersih dan amanah, adalah suatu yang sangat sukar ketika ini. Untuk bercakap tentang Bersih, Cekap dan Amanah adalah sutau yang ganjil ketika ini apatah lagi pemimpin semakin bijak menggunakan retorik dalam pidato dan imej-imej syumul yang bersih lagi suci.
Tidak ada sekolah atau universiti yang mampu mengajar untuk mengawal nafsu tamak.
Politik Malaysia ialah tentang siapa dapat apa, bila dan bagaimana. Kerana itu Tun Mahathir merasa cukup bimbang dengan keadaan politik Melayu ini.
Politik Melayu adalah tunjunag kestabilan negara. Kerosakkan politik Melayu akan menjadi sebab lemahnya negara.
Mahdzir bin Ibrahim
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com