TERKINI

Kes buli : Ikhwan adalah ‘survivor’

Wan Azliana bersama pasukan peguam bela Ikhwan – foto Kosmo.com

Pada awal tahun 2017, saya telah diperkenalkan kepada seorang wanita. Saya ingat lagi, ketika itu wanita itu menemui saya bersama anak lelakinya.

Sepanjang pertemuan pertama tersebut, wanita itu asyik menangis sambil memberitahu kisah menyayat hati yang berlaku terhadap anaknya. Saya dimaklumkan bahawa anaknya Ikhwan telah menjadi mangsa buli di sekolah.

Pada tahun 2015, Ikhwan telah dibuli secara fizikal dan mental oleh 5 orang pelajar senior Tingkatan 5 di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu.

Dua orang daripada pembuli-pembuli tersebut adalah pengawas sekolah. Ketika dibuli, Ikhwan hanya berusia 14 tahun.

Ikhwan telah dipukul, dibuli dengan teruk. Amat mengejutkan apabila ibu mangsa memberitahu saya bahawa kejadian tersebut berlaku di Bilik Ketua Pengawas di asrama sekolah berasrama penuh tersebut.

Ikhwan dibuli oleh 5 orang sekaligus pada waktu malam sehingga ke awal pagi esoknya. Saya tidak dapat gambarkan betapa takut dan sakitnya seorang budak berusia 14 tahun menghadapi kejadian yang traumatik begitu.

Sudahlah dibuli dengan teruk, beliau juga tidak dapat pengadilan sewajarnya, ketika itu. Ikhwan terpaksa berhenti sekolah di sekolah berasrama penuh tersebut kerana trauma berdepan dengan pembuli-pembuli satu sekolah, sedangkan pembuli-pembuli itu masih bersekolah di situ.

Setelah mendengar daripada ibu Ikhwan, saya minta untuk berbincang berdua bersama Ikhwan tanpa ibunya, ketika itu Ikhwan berumur 16 tahun.

Semasa pertemuan itu, saya telah bertanyakan sesuatu dan ketika itu Ikhwan telah memberi satu jawapan yang membuatkan saya sangat terkesan dihati dengan jawapan itu, terus saya bersetuju membantu Ikhwan mendapatkan keadilan buat dirinya di Mahkamah.

Saya menasihati Ikhwan dan ibunya bahawa perjalanan dan proses untuk mendapat keadilan bukan mudah dan merupakan proses yang panjang. Memang benar perjalanan yang mereka tempuh penuh liku.

Sepanjang bicara, ramai saksi hadir memberi keterangan. Tidak hilang trauma kejadian, Ikhwan menempuh pula trauma berhadapan bicara.

Prosiding kes ini mengambil masa 7 tahun, daripada perbicaraan penuh sehingga 2 rayuan ditempuh. Plaintif menang di Mahkamah Tinggi KT. Kami berjaya membuktikan kejadian buli telah berlaku, sekolah cuai dan kejadian buli berlaku di bilik ketua pengawas pada waktu malam.

Namun, semua Pembuli dan pihak sekolah /kerajaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Malangnya keputusan Mahkamah Tinggi KT tersebut diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2021.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa kejadian buli terhadap Ikhwan tidak berjaya dibuktikan serta pihak guru dan sekolah tidak bertanggungjawab.

Ikhwan sangat terkesan dengan keputusan itu. Sangat sedih. Kejadian buli dan pukul yang dilakukan kepadanya oleh 5 orang orang pembuli tersebut seolah-olah tidak pernah berlaku (mengikut keputusan Mahkamah Rayuan).

Setelah berbincang, mereka membuat keputusan untuk membuat rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia.

Pada 16/10/2023, bicara kes rayuan di Mahkamah Persekutuan Malaysia telah didengar secara atas talian. Pendengaran tersebut melibatkan 4 orang peguam mewakili Plaintif/Perayu iaitu mangsa buli, 5 orang peguam mewakili 5 orang Defendan/Responden (pembuli) dan 5 orang peguam persekutuan mewakili sekolah dan kerajaan Malaysia.

Walaupun telah melalui tempoh yang memenatkan dan sukar, Ikhwan dan ibunya tidak pernah putus harapan. Mereka turut hadir mendengar bicara rayuan tersebut di sisi saya ketika itu. Ikhwan dan ibunya tidak putus berdoa dari pagi kes bermula.

Hakim-Hakim Mahkamah Pesekutuan bersedia dengan keputusan, apabila Yang Amat Arif berkata “We unanimously allowed the appeals” (Kami sebulat suara membenarkan rayuan-rayuan), menangislah Ikhwan dan ibunya berpelukan sehingga saya sendiri tidak dapat mengawal air mata saya.

Bukan air mata kesedihan sebaliknya air mata kegembiraan, menumpang gembira buat Ikhwan dan ibunya. Jauh sudah perjalanan Ikhwan sehingga kini.

Ya Ikhwan, Mahkamah tertinggi di Malaysia telah membuat keputusan bahawa Ikhwan telah dibuli, Ikhwan mengalami kecederaan teruk dan kekal akibat perbuatan 5 orang pelajar tersebut.

Apa yang berlaku pada Ikhwan tidak sepatutnya terjadi di sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal dengan kecemerlangan pelajarnya lebih-lebih lagi kejadian tersebut berlaku di bilik Ketua Pengawas, sebuah tempat ‘hotspot’.

Ikhwan adalah ‘fighter’. Ikhwan bangkit untuk mendapatkan keadilan buat dirinya. Ikhwan adalah inspirasi kepada semua mangsa buli di sekolah untuk mendapatkan keadilan.

Kejadian buli yang berlaku kepada Ikhwan tidak patut berlaku terhadap mana-mana pelajar sekolah dan tiada pelajar yang mempunyai hak untuk membuli pelajar lain.

Buli membawa kepada budaya samseng. Itulah kata kata dari negarawan Ulung iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya setuju dengan kenyataan YAB Tun Mahathir tersebut. Samseng bermaksud gangster, bergerak di dalam kumpulan. Hanya berani bila berkumpulan.

Saban tahun negara kita dilaporkan dengan kejadian buli yang melibatkan pelajar sekolah di seluruh Malaysia.

Kes-kes buli seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membawa impak yang besar kepada mangsa iaitu mangsa akan mengalami kecederaan fizikal sehingga ada yang cacat kekal serta trauma yang boleh berlarutan sepanjang hayat.

Semua pihak harus sedar bahawa buli adalah suatu jenayah yang boleh merosakkan mangsa buli sehingga ada yang meragut nyawa. Oleh itu, buli tidak lagi seharusnya dilihat hanya sekadar masalah disiplin tetapi jenayah berat yang semakin berleluasa.

Kami berharap dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes buli Ikhwan ini dapat menjadi pengajaran kepada pembuli-pembuli Ikhwan dan semua pelajar di Malaysia. Setiap perbuatan kesalahan akan dikenakan hukuman.

Saya berharap kes ini juga menjadi pengajaran dan iktibar kepada masyarakat di luar sana bahawa buli di sekolah adalah satu kesalahan serius. Kementerian Pendidikan Malaysia harus mengkaji SOP mengendali kes buli di sekolah dan memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa buli.

Hero dalam kisah ini adalah Ikhwan. Kami barisan peguam hanya membantu dari proses perundangan. Ikhwan adalah ‘survivor’.

Kerana Ikhwan, ia telah memberi semangat baru kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk mengerakkan penggubalan Akta Anti Buli di Malaysia. MOU antara ASWA dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telahpun ditandatangani pada 5/1/2023 untuk draf Akta Anti Buli. Kami juga telahpun berjumpa beberapa Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal satu undang-undang khusus untuk mencegah dan menangani kes-kes buli terutamanya di sekolah-sekolah.

Sehingga kini masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh, padu lagi mantap tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.

Adakah ibu Ikhwan masih menangis? Ya. Masih menangis. Tapi semalam beliau menangis kegembiraan. Keadilan di dunia telah diberikan kepada anaknya.

Saya juga turut menangis. Malah seluruh team saya menangis kegembiraan. Doa Ikhwan dan ibunya sudah makbul. Alhamdulillah.

Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes Ikhwan telah berkata semasa bicara rayuan tersebut “It is not our culture or any culture to bully any person. That is not acceptable”.

JUSTICE HAS BEEN SERVED.

Wan Azliana Wan Adnan
** Terima kasih kepada barisan Peguam, Tuan Hisyam Yusof, Cik Nik Nur Syazwani, Cik Diyana Ibrahim dan semua yang telah membantu dan memberi sokongan.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp