Negara Persekutuan Tanah Melayu itu sebuah negara baru cuma bagi bukan Melayu yang memang nyata dari tarikh 1957 itu telah menjadi warga negara sebuah negara di satu alam yang baru, yakni Alam Melayu; setelah terasing daripada alam lama mereka, iaitu benua India dan benua China. Maknanya, bumi yang dipijak mereka sebagai warga negara adalah bumi yang baru.
Nyatanya sekali, Semenanjung Tanah Melayu bukanlah sebuah bumi di mana “multiracialism, multiculturalism, and multi religions [adalah] the cardinal principles of Malaya for centuries” (“… kepelbagaian bangsa, kepelbagaian budaya, kepelbagaian agama prinsip Malaya sejak berabad-abad”) seperti yang diusaha dihujah oleh Thomas, satu takrifan yang jauh sesat.
Memang ada orang-orang asing datang ke Semenanjung Tanah Melayu semenjak berabad, tetapi mereka nyata orang asing (aliens) atau tetamu, sama ada pedagang, atau perantau. Mana yang terus bermastautin tetap di sini terus berasimilasi dengan masyarakat Melayu pribumi.
Dan lagi, di abad-abad yang lalu itu orang-orang asing tersebut faham negeri-negeri di Semananjung ini bertuan, dan tiada mereka mempersoal atau mencabar identiti dan ketuanan bumi di sini, kecuali orang Siam, Portugis, dan Belanda yang memang menerjah ke sini untuk tujuan menjajah.
Manakala, British juga mengiktiraf ketuanan/kepribumian orang Melayu di sini (dasar ini tercacat dengan projek Malayan Union mereka).
Tidak juga Kontrak Sosial negara itu “mempromosi kepelbagaian” seperti yang diusaha dihujah oleh Thomas.
Sebaliknya, sepanjang mengusahakan Kontrak Sosial itu dari tahun 1948 sehingga lahirnya Persekutuan Tanah Melayu merdeka hasil daripadanya, pihak pentadbir British di Tanah Melayu telah sering menekankan bukan Melayu yang menjadi warga negara Persekutuan merdeka perlu “malayanise” diri mereka, yang dimaksudkan sebagai ‘adopting the ways of the land’ (‘menuruti resam bumi di Tanah Melayu’ – yakni resam orang Melayu), bermakna berintegrasi dengan masyarakat pribumi di bumi yang dipijak di sini.
Malah, sebenarnya, British mahukan terus asimiliasi berlaku. Asimilasi bermaksud bukan Melayu memeluk bahasa dan budaya orang Melayu dan meninggalkan terus bahasa dan budaya mereka.
Manakala, integrasi bermaksud bukan Melayu menerima dan mengutamakan bahasa dan budaya Melayu, tetapi tidak meninggalkan bahasa dan budaya mereka. Pemimpin-pemimpin orang Melayu yang menerajui kerajaan semenjak Merdeka memilih dasar integrasi.
Sosial Kontrak di Malaysia jauh sekali daripada menjadi “tidak bermakna lagi sekarang” seperti yang ingin dihujahkan oleh Thomas.
Sosial Kontrak di Malaysia masih kekal sah.
Malah, Thomas sendiri pernah menghujah dalam ucapan utamanya di 14th Malaysian Law Conference di Kuala Lumpur, Okt. 2007, bahawa Kontrak Sosial itu adalah “Basic Structure Under the Constitution” (“Struktur Asas di Bawah Perlembagaan”).
Dalam teori perlembagaan, “Basic Structure” atau “Struktur Asas” adalah merujuk hakikat semua Perlembagaan di mana-mana negara sekali pun mempunyai struktur atau rangka asas yang tidak boleh diusik atau dipinda.
Maka, Kontrak Sosial itu di Malaysia tidak boleh dipinda, malah oleh parlimen Malaysia sekali pun. Apatah lagi, parlimen Malaysia itu adalah lahir dari Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
Dalam ucapan tahun 2007 itu, Thomas menyebut “the social contract provisions enjoy constitutional status … they are sacrosanct and entrenched” (“peruntukan-peruntukan sosial kontrak memiliki darjat perlembagaan … peruntukan-peruntukan itu adalah suci dan tertanam kukuh”).
Keseluruhan Perlembagaan negara Malaysia hari ini (lebih khususnya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu) adalah dikembangkan daripada struktur asas tersebut, iaitu Kontrak Sosial, atau khususnya pati Kontrak Sosial tersebut.
Tajuk pembentangan Thomas di 14th Malaysian Law Conference 2007 tepat sekali, iaitu “The Social Contract : Malaysia’s Constitutional Covenant” (“Kontrak Sosial : Perjanjian Perlembagaan Malaysia).
Covenant, satu istilah Bahasa Inggeris membawa maksud suatu perjanjian yang rasmi, dipegang sebagai mulia, mengikat, dan menjangkau luas. Satu istilah yang amat tepat mengenai Kontrak Sosial di Malaysia ini.
Oleh : Arof Ishak, Ahli Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Penulis buku ‘Tamadun Alam Melayu’
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com