TERKINI

Kontrak Sosial disalah ceritakan – Bah 1

Arof Ishak, penulis – malayadaily.com

Satu makalah, 2 Nov. 2024, tajuk “Concept of social contract has departed from its original meaning” dalam satu portal berbahasa Inggeris melaporkan ceramah bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, berkenaan Kontrak Sosial di Malaysia yang mana mampu membawa kekeliruan berkenaan perkara penting ini.

Tommy Thomas dilaporkan telah menyatakan ‘fabrik sosial’ ketika kontrak itu dirumuskan tahun 1957, sudah berubah (yakni, katanya ketika mana bukan Melayu bukan warga negara, ‘Malaya sebuah “negara yang baru”, orang Melayu memerlukan bantuan untuk mendaki tangga ekonomi, dll.), maka sekarang Kontrak Sosial itu dihujahkannya sebagai tidak bermakna lagi.

Ini adalah satu penceritaan tentang Kontrak Sosial itu yang amat tersasar.

Kontrak Sosial itu tetap tepat asas maksud asalnya.

Dan, terus sebagai tiang utama Perlembagaan negara Malaysia.

Penghujahan Thomas tidak mengutarakan perihal Kontrak Sosial itu dengan tepat : berkenaan asalnya, persekitaran sosial, perihal sejarah dan sifat bumi negara ini, dan keperibadian orang Melayu. Semuanya ini berkaitan dengan kenapa perlunya dimunculkan Kontrak Sosial tersebut.

Asal tergeraknya keperluan untuk Kontrak Sosial ini bertitik tolak daripada tindakan British menubuhkan satu kesatuan negeri-negeri Melayu di Semenanjung ini (yang disebut British sebagai ‘Malaya’) yang dinamakan Malayan Union. Dengan Malayan Union ini kedaulatan Raja-raja Melayu dicabut dan diberikan kepada Raja British; dan, Semenanjung Tanah Melayu tercabar sebagai tanah negeri-negeri Melayu dengan dibuka kewarganegaraan Malaya kepada bukan Melayu dengan kaedah mudah.

Orang Melayu penuh bersatu, menentang dan berjaya menumbangkan Malayan Union dengan pantas.

Dengan tumbangnya Malayan Union, British mengetahui mereka perlu berunding dengan orang Melayu akan bentuk negara yang akan menggantikan Malayan Union.  

Orang Melayu tegas mahukan pemulangan semula kedaulatan Raja-raja Melayu dan pengembalian hakikat ketuanan Melayu di bumi Semenanjung. Tekad orang Melayu ialah sebuah negara yang merdeka yang terus berupa negeri-negeri Melayu.

Mengambil kira British India tidak mahu mengambil balik orang India dan negara China komunis pula tidak mahu mengambil balik orang Cina di Tanah Melayu, maka satu Kontrak Sosial antara orang Melayu dan kaum-kaum bukan Melayu diperlukan jika bukan Melayu mahu orang Melayu menerima bukan Melayu sebagai warga negara.

Maka, dari tahun 1948 khususnya, dengan dorongan British, satu usaha ke arah persefahaman telah dimulakan sehingga tercapai satu persetujuan (kontrak sosial) sebagai asas wujudnya negara Tanah Melayu yang merdeka.  

Dengan Kontrak Sosial ini orang Melayu bersetuju menerima bukan Melayu sebagai warga negara dengan pengiktirafan oleh bukan Melayu akan “kedudukan istimewa” orang Melayu (Malay “special position”, bukan “Malay privileges”, istilah yang digunakan oleh Thomas). Dan, orang Melayu juga mengiktiraf “kepentingan sah” (“legitimate interests”) bukan Melayu.

Ini adalah pati Kontrak Sosial ini. Yang bermakna wujud sebuah negara bersifat inklusif terhadap semua kepentingan, dengan berpaksikan keMelayuan, di bumi di sini. “Kedudukan istimewa” itu adalah berakar daripada sejarah bumi Semenanjung; bukan berlandaskan perkiraan keadaan ekonomi atau sosial orang Melayu berbanding kaum bukan Melayu, di mana-mana masa sekali pun.

Perjuangan untuk kemerdekaan negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu adalah usaha orang Melayu sepenuhnya, kerana ia berkenaan mendapatkan semula kedaulatan Raja-raja Melayu, menzahirkan kembali ketuanan Melayu, dan mengekalkan warisan Melayu di Semenanjung.

Cuma orang Melayu sahaja yang telah menumbangkan Malayan Union, yang seterusnya membuka jalan ke arah kemerdekaan negeri-negeri Tanah Melayu dengan berundurnya pentadbiran British dari Tanah Melayu. Bukan Melayu menyertai usaha orang Melayu mendapatkan kemerdekaan dengan nyata untuk mendapat kewarganegaraan sahaja.

Apabila negara Persekutuan Tanah Melayu merdeka tertubuh tahun 1957, ia tidak “negara baru” (dengan maksud negara yang diperjuangkan kemerdekaannya dan dibentuk oleh orang Melayu dan bukan Melayu bersama) seperti yang dihujahkan oleh Thomas.

Kerana, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka itu adalah penyusunan semula negeri-negeri Melayu dalam rangka yang lain, yakni penerusan kesinambungan berterusan negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu.

-Bersambung

Oleh : Arof Ishak, Ahli Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Penulis buku ‘Tamadun Alam Melayu’

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp