Dari masa ke semasa hal ‘diskriminasi’ di Malaysia ditimbulkan oleh individu atau media berkenaan pelbagai perkara, misalnya berkenaan biasiswa dan kemasukan ke universiti.
Pengkritik ‘diskriminasi’, kita ambil contoh kemasukan ke universiti, menimbulkan perkara ‘keadilan’, dengan menghujah tiadanya amalan meritokrasi dalam kemasukan ke universiti membawa nasib yang buruk bagi pelajar bukan Melayu.
Walau pun benar lebih ramai pelajar Melayu memasuki ke universiti, bagi seseparuh mereka dengan keputusan yang lebih rendah berbanding pelajar-pelajar bukan Melayu, jika ini dihujahkan sebagai tidak adil kepada pelajar bukan Melayu, maka bukankah pula jika pemilihan kemasukan berdasarkan meritokrasi sekeras-kerasnya akan mengakibatkan jauh lebih kurang jumlah pelajar Melayu dapat memasuki universiti; maka, bukankah ini pula satu ketidak-adilan juga (kali ini bagi orang Melayu), yang dalam jangka panjangnya akan membawa risiko terpinggirnya orang Melayu di bumi nenek moyang mereka sendiri.
Apakah ketidak-adilan kes yang pertama tidak boleh diterima, tetapi ketidak-adilan kes yang kedua harus boleh diterima pula ?
‘Keadilan’ yang sebenar, mesti bermakna baik untuk kedua-dua pihak.
‘Keadilan’ (sama rata) bukan suatu yang mudah seperti 2=2. Keadilan sebenarmya bersifat pelbagai sudut. Ia perlu mengambilkira sudut sejarah bumi berkenaan, dan lain-lain hal lagi.
Keadilan bukanlah juga berkenaan kelompok majoriti atau minoriti. Ia adalah berkenaan penduduk asal (orang pribumi), tidak kisah sama ada mereka itu majoriti atau pun minoriti, dengan penduduk yang lainnya, yakni penduduk yang muncul akibat peruntukan dalam perlembagaan.
Di negara New Zealand, orang asli bangsa Maori mempunyai istilah yang tepat akan perihal ini, iaitu : tangata whenua (‘orang bumi’, yakni orang Maori), dan tangata teriti (orang yang menjadi penduduk ‘terbit daripada triti/perjanjian’). Maka, kedua-dua belah pihak ini perlu mendapat keadilan.
Meritokrasi sahaja dan persaingan tanpa had telah mengakibatkan orang pribumi Maori nyata terpinggir di New Zealand. Tidak adil.
Dan, peminggiran/kemusnahan orang-orang pribumi merupakan satu ketidak-adilan yang paling keji. Ia pertama kali dilakukan oleh Christopher Columbus 500 tahun dahulu di wilayah Caribbean di Amerika tengah.
Dengan mendakap secara ektremis prinsip yang abstrak seperti ‘meritokrasi’, dan ‘kesamarataan’, dengan mengenepikan hak-hak yang berdasarkan sejarah dan realiti, nyata terbukti telah membawa malapetaka yang amat buruk kepada semua orang pribumi seluruh dunia.
Penggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia mengiktiraf pentingnya sejarah dan realiti. Maka, mereka menampilkan satu formula keadilan dalam Perkara 153 Perlembagaan, yang meletakkan perkiraan keadilan dan kesamarataan yang terimbang, yang dimajukan dengan istilah “hak istimewa” untuk orang Melayu dan bumiputera yang lain, dan “kepentingan sah” untuk kaum-kaum lain. Maksudnya, ‘keadilan’ mengambilkira sudut sejarah, dan dinikmati kedua-dua belah pihak.
Ada pula pihak-pihak yang menghujahkan orang Melayu tidak ada apa yang harus dibimbangkan kerana mereka majoriti di Malaysia. Majoriti atau minoriti bukan perkara pokoknya.
Di seluruh wilayah Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan – terdapat anggaran 33 buah negara – kecuali negara Argentina dan negara Uruguay yang majoriti penduduknya orang kulit putih, di semua negara-negara lainnya penduduk orang kulit putih adalah minoriti dengan kadar pukul rata 15%.
Orang pribumi di negara-negara yang lain itu, yang majoriti, sekarang telah pun terpinggir dengan teruknya akibat pegangan negara mereka kepada prinsip meritokrasi-kesamarataan yang abstrak.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia yang meletakkan sifat keadilan itu adalah satu kontrak sosial yang menjadi dasar kepada pemilikan kewarganegaraan.
Kontrak sosial ini mesti diketahui sepenuhnya dan disanjung oleh tangata whenua (penduduk pribumi) dan juga tangata teriti (penduduk terbit daripada triti/Perlembagaan itu) bersama, kerana itulah teras kepada pembentukan negara.
Orang bukan Melayu tidak tersingkir dalam Malaysia. Lihatlah bagaimana mereka terus menguasai ekonomi, bidang profesional, dan media contohnya pada hari ini. Perihal mereka itu masyarakat minoriti, dan kononnya menjadi mangsa ‘diskriminasi’ tidak nampak ada ketaranya pun sebagai satu masyarakat.
Berkenaan ‘diskriminasi’, kita semua harus cerdik mengenali istilah ini.
‘Diskriminasi’ adalah satu dasar (negara) atau sikap kelompok manusia (dalam hal ini dikatakan orang Melayu) yang menjadikan satu kelompok etnik lain sebagai mangsa cuma akibat warna kulit mereka yang berlainan – dan tiada langsung atas sebarang sebab lain.
Diskriminasi sebegini, saya hujahkan dengan jujur, tidak ada berlaku di Malaysia, kerana apa yang dikatakan ‘diskriminasi’ di Malaysia adalah dasar atas sebab untuk ‘mempertahankan diri’ bagi orang Melayu; yakni, untuk menjaga hak dan kepentingan mereka berdasarkan sejarah, bukan kerana sikap benci, hasad dengki atau perkauman orang Melayu terhadap kaum-kaum lain.
Semenjak dari zaman pentadbiran British di Tanah Melayu dahulu lagi pihak British telah pun mewujudkan dasar-dasar untuk ‘pertahanan diri’ orang Melayu, seperti diwujudkan oleh British dasar pemilikan Tanah Simpanan Melayu.
Manakala, jika disoroti daripada sudut sikap pula, dalam sejarah mereka di bumi ini orang Melayu tidak ada memiliki pemikiran rasis. Untuk orang lain mengatakan ‘orang Melayu juga rasis’ adalah suatu tuduhan akibat langsung tidak mengenali orang Melayu – yakni, satu kejahilan.
Sepanjang sejarah orang Melayu, pantai negeri mereka sentiasa terbuka kepada kedatangan orang asing pelbagai warna kulit, pelbagai jenis Arab, pelbagai jenis India dan pelbagai jenis Cina, pelbagai jenis pelarian, orang Vietnam, dll. dengan keyakinan bahawa semua mereka ini mengerti akan adat resam dan mengetahui pantai dan negeri ini mempunyai bangsa pribumi, pemiliknya.
Orang Melayu sebagai pribumi tidak boleh dikehendaki menerima jika terpinggir di negeri sendiri, dengan dilaksanakan prinsip-prinsip abstrak ‘meritokrasi’, dan ‘kesamarataan’, dan mengenepikan terus fakta sejarah, dan pelbagai realiti lain.
Bukanlah pula ini bermakna orang Melayu menyisihkan terus perkiraan meritokrasi, tetapi meritokrasi itu adalah dalam kalangan bangsa/kaum masing-masing. Dan, tidak mungkin setiap individu dalam negara ini semuanya berpuas hati belaka, tetapi setiap kelompok ada perkiraan kepentingannya.
Perkara yang malang di Malaysia ialah banyak di media segaja menutup penghujahan-penghujahan/pandangan orang Melayu dalam semua hal; dengan cara sengaja tidak menerbitkan tulisan/hujah tulus mereka, atau menanam sikap di kalangan pembaca mereka untuk melabel terus sebarang hujah orang Melayu sebagai ‘rasis’, ‘supremacist’, ‘dakyah’, ‘dalih’ atau ‘karut’ semata-mata.
Arof Ishak – Lembaga Peradaban Melayu (ADAB)
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com