TERKINI

Malaysia : Penduduknya pelbagai kaum, bukan negara pelbagai kaum

Gambar hiasan – foto Perchahaya

Orang Melayu jangan lupa berkenaan sejarah Malayan Union, Penentangan Malayan Union di antaranya ialah untuk mengekalkan kuasa orang Melayu dan Raja-raja serta mengelakkan pendatang Cina dan India dari mendapat kerakyatan dengan sewenang-wenangnya termasuklah hak sama rata.

Sejarah Malayan Union ialah sejarah penyatuan orang Melayu yang menghasilkan kewujudan UMNO. Tetapi UMNO yang asal itu telah tiada, UMNO hari ini telah hilang jiwa Melayunya.

Hari ini kita telah mendengar ada yang mengatakan Malaysia bukanlah negara orang Melayu, tetapi negara pelbagai bangsa.

Kita tidak melihat pun UMNO bangun dan mengecam kenyataan ini, UMNO yang wujud untuk mempertahankan negara ini supaya kekal milik orang Melayu, kini bersekutu dengan mereka yang membuat kenyataan tersebut.

Jelas sudah UMNO sudah tidak relevan lagi untuk memperjuangkan kuasa politik Melayu, bolehlah kita berhenti di perenggan ini dari mengaitkan UMNO apa bila berbicara tentang perjuangan orang Melayu dan agama Islam.

Kembali kepada apa yang mereka kata bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, bukannya untuk Melayu sahaja.

Rujukan popular yang akan dibuat ialah Amerika Syarikat telah mempunyai Presiden kulit hitam, England sekarang mempunyai Perdana Menteri keturunan India yang beragama Hindu.

Kita akui itu, tetapi sedarkah mereka Presiden Barack Obama tidak membawa agenda untuk menidak-Amerikakan negara Amerika Syarikat, atau pun Rishi Sunak tidak berusaha untuk menidak-orang putihkan negara England.

Polisi negara mereka tidak berubah, sebelum itu kedua-dua negara ini menyokong keganasan Israel terhadap Palestin. Apabila mereka menjadi ketua kepada kedua-dua negara ini, polisi negara mereka tetap sama. Israel terus disokong melakukan keganasan ke atas Palestin.

Tetapi di Persekutuan Tanah Melayu ini belum pun menjadi pentadbir sepenuhnya kerajaan, mereka sudah menidak-Melayukan negara Malaysia. Mereka mengatakan Malaysia ialah negara pelbagai kaum bukannya untuk orang Melayu sahaja, ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Harus ingat, Persekutuan Tanah Melayu adalah negara yang Merdeka pada 1957. Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 kerana tiada pilihan sekiranya mahu Merdeka, Malaysia ialah nama Persekutuan Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri-negeri Borneo.

Terasnya masih Negeri-negeri Tanah Melayu ketua utamanya masih seorang Raja Melayu.

Fahamkan ini, Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum bukannya negara pelbagai kaum.

Azman Mohd Hashim

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp