TERKINI

Media Kewartawanan: Pantau Kendiri dan Kuasa Menteri

foto PressReader

Kabinet, wakil rakyat serta penggubal dasar awam mesti memahami dan mendalami fungsi dan peranan kewartawanan, suratkhabar, portal berita, profesion media, wartawan dan kewartawanan dalam sesebuah masyarakat, negara dan tamadun.

Suasana politik dan masyarakat di Malaysia gagal/belum? tiba ke tahap sedemikian. Ini masalah sikap, budaya, ilmu dan kuasa, sepanjang zaman sejak 1957.

Wujud beberapa ketika dalam pentadbiran negara di mana media, dan dalam hal ini kewartawanan Melayu bersikap bebas dan kritikal. Ini dapat dilihat pada zaman sebelum Perang Dunia ke II, serta pada dasawarsa 1970an dan 1980an.

Suratkhabar dan wartawan menegur dan mencabar nilai dan pemikiran masyarakat, serta dasar awam negara dan pelaksanaannya, membuka pelbagai ruang pendapat dan komentar. Perdebatan berlaku dengan rancaknya.

Ini dapat dibaca pada liputan, lidah pengarang dan komentar suratkhabar seperti Utusan Malaysia, Berita Minggu dan New Straits Times pada ketika itu. Mereka yang menjadi mahasiswa di Lembah Kelang pada lewat tahun 1970an masih lagi ingat keberadaan suratkhabar Watan di kampus yang membawa kerancakan perdebatan mengenai pelbagai ideologi dan isu politik nasional dan antarabangsa.

Fungsi menteri yang bertanggungjawab dalam hal-hal komunikasi adalah pelbagai. Dalam pentadbiran sekarang, pendirian kerajaan mengenai profesion dan institusi komunikasi (baca media kewartawanan) adalah tidak jelas.

Namun, kita dimaklumkan baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Digital telah bertemu dengan sidang pengarang suratkhabar Berita Harian untuk mendapat penjelasan. 

Selain dari mentadbir beberapa agensi mengenai keselamatan siber, internet, komunikasi dalam talian, dan perfileman, menteri juga hendaklah menangani dan mendalami isu-isu mengenai etika dan kebebasan media dan akhbar, serta profesion media dan kewartawanan.

Tetapi ini tidak semestinya menteri mesti campurtangan dalam operasi bilik berita. Namun perlu wujud persefahaman akan proses tegur menegur antara media/profesion kewartawanan dan mereka yang memiliki kuasa.

Media harus dan mesti menegur kerajaan, dan mengajak kerajaan faham  mengenai ekpresi dan hujah, serta falsafah dan nilai kebebasan.  Begitu juga kerajaan. Boleh menegur tukang cerita dalam profesion tersebut.  

Saya tidak kata kerajaan tidak boleh menegur media; namun dalam sebuah masyarakat dan demokrasi yang sihat, perlu wujud satu jurang yang menjarakkan dengan kerajaan dan media kewartawanan. 

Kerajaan mempunyai kuasa secara mutlak untuk campur tangan, menghalang amalan profesion kewartawanan, malah menutup mana-mana organisasi media sama ada secara perundangan,  pentadbiran, atau secara menyukarkan operasi dengan apa cara pun walaupun dalam iklim pendemokrasian ekpresi dalam talian, namun perlu wujud jarak ideologi dan politik, kesefahaman, dan saling hormat menghormati antara dua institusi itu.

Media sering disebut sebagai ‘fourth estate’ (cabang ke empat) dalam sistem pemisahan kuasa dalam sesebuah negara. Menteri pun ada menyebut demi meyakinkan masyarakat dan profesion.

Perspektif dan konteks ‘fourth estate’ itu telah berganjak dengan munculnya internet dan media dalam talian. Idea dan amalan ‘fourth estate’ itu mengambarkan ideal sistem demokrasi ala Amerika Syarikat dan dunia barat pada umumnya. Tidak sama di Malaysia. Namun ruang kebebasan bersuara, kebebasan akhbar dan kebebasan akademik amatlah diidamkan.

Di Malaysia, secara asasnya media kewartawanan berfungsi dalam menyalur maklumat yang betul, menjadi wadah komentar dan pendapat; serta menjamin keharmonian kehidupan nasional.

Media dan profesion kewartawanan juga bertanggungjawab mengekalkan kestabilan negara; pada masa yang sama memperjuangkan mereka yang teraniaya dan tertindas. Ia juga berfungsi sebagai alat pencerahan.

Media kewartawanan juga tidak sama dari segi ideologi, objektif dan sentimen. Seperti suratkhabar yang ada, televisyen dan radio boleh menjadi pengukur kepada kebenaran maklumat.

Genre berita dan pendapat  adalah pemacu iklim sosial, politik dan intelektual yang sihat.  Dan sejak lebih dari dua dasawarsa ini juga wujud dua sistem media di Malaysia – pertama yang dicetuskan dari zaman Reformasi; dan yang kedua kekal sebagai kesinambunangan seperti yang terlihat dalam pelbagai suratkhabar, termasuk media elektronik.

Kedua-duanya saling tidak sependapat. Itu kebebasan. Tetapi juga media yang lahir dari zaman itu biasanya terlepas dari radar pemantauan. Satu lagi ialah suratkhabar vernakular Bahasa Cina. Inilah yang perlu dipedulikan oleh menteri.

Pada masa yang sama, profesion kewartawanan mesti mewujudkan satu pelantar yang mantap dalam mewakili profesion itu. Setakat ini tidak ada. Difahamkan satu persatuan yang akan menyatupadukan ahli profesion wartawan sedang di tubuhkan.

Apa yang penting ialah diwujudkan satu daftar ahli profesion kewartawanan, yang dapat dilakukan selari dengan sebuah persatuan profesional (bukan seperti pelbagai persatuan  wartawan yang ada sekarang yang lebih bersifat sosial dan kebajikan) kewartawanan; dan mungkin satu mekanisma mengawal selia media oleh ahli profesion sendiri – pertama dicetuskan oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak pada tahun 1974.

Idea itu dinamakan sebagai majlis akhbar. Sejak itu beberapa percubaan digerakan kearah pemantauan media oleh profesion sendiri.

Namun pertama kalinya laporan lengkap pertama mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia (itu nama yang dicadangkan) diserahkan kepada kerajaan pada tahun 2001. Pada masa itu Institut Akhbar Malaysia telah dipertanggungjawabkan menganjur dan mendapatkan maklumbalas.

Saya merupakan penyedia dan penulis bersama  laporan (seorang lagi ialah Dr. Mohd. Safar Hasim) itu yang mengandungi kerangka dan keanggotaan majlis, fungsi, jenis hukuman, status dan kod etika dan perlakuan. Ia merupakan laporan pertama mengenai cara pemantauan kendiri media kewartawanan di Malaysia.  

Kemudian pada tahun 2019, dianjurkan Perundingan Nasional mengenai Majlis Media Malaysia. Namun pengajuran itu nampaknya tidak menjemput wartawan-wartawan dari suratkhabar/media berbahasa Melayu. Ini juga merupakan isu yang secara halusnya mengenepikan wartawan Melayu dari terlibat dalam proses tersebut.

Walau apa pun, golongan wartawan dan kebebasan akhbar mesti dilindungi. Dan golongan wartawan juga mesti bersedia menangani dan berhujah isu-isu kompleks bukan hanya dalam liputan seharian, serta komentar dan pendapat; juga isu-isu yang membabitkan ekpresi dan falsafah kebebasan itu; isu dan tema kemanusiaan dan demokrasi yang lebih luhur,dan hubungan suratkhabar dengan demokrasi, kuasa dan negara bangsa.

Kita juga menghadapi penguncupan suara media Melayu, berbanding dengan suara suratkhabar vernakular berbahasa Cina. Media kewartawanan, yang dipaparkan dalam mana-mana pelantar sekalpun, adalah sebuah buletin awam; bukan saluran peribadi, bukan ideologi parti, walaupun secara keseluruhan, atau sebahagiannya dimiliki oleh faham ideologi tertentu, dan diterbitkan untuk kelompok-kelompok tertentu, khususnya berdasarkan kepada bangsa masing-masing.

Para editor terkenal dengan teguran dan kritikan masyarakat; para sarjana mengembangkan hujah mereka dengan tafsiran dan analisis isu semasa. Tiada masalah. Namun pemikiran sempit kini dari golongan terbabit mengenai peranan dan kepentingan media kewartawanan amat membimbangkan.

Media sering menjadi apologis kepada kuasa. Tiada lagi lidah pengarang yang tajam lagi pedas. Jika ada pun, sekali sekali dinukilkan sindiran yang mungkin tidak sampai maksudnya kepada pentadbir-pentadbir dewasa yang amat bijak pandai itu kerana mereka tidak faham apa yang dibaca.

Oleh : A Murad Merican – Seorang Profesor sejarah sosial dan intelektual, (ISTAC-IIUM).

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp