TERKINI

Melayu: Kunci perpaduan nasional

Azman Mohd Hashim, penulis – malayadaily.com

Seruan untuk perpaduan orang Melayu mungkin kedengaran klise dan usang. Namun, meskipun ianya dianggap basi, masa depan anak cucu kita di tanah Melayu memerlukan perhatian mendalam dari semua orang Melayu.

Hari ini, kita perlu menangguhkan sejenak kesetiaan kepada parti politik yang kita sokong. Walaupun parti-parti ini mendakwa memperjuangkan hak Melayu dan Islam, mereka sering memiliki agenda dan matlamat yang berbeza. Ini menjadi salah satu penghalang utama kepada perpaduan orang Melayu.

Bagaimana kedudukan ekonomi orang Melayu pada masa kini?

Memang benar bahawa keadaan ekonomi kita telah menunjukkan kemajuan berbanding tahun 70-an dan 80-an. Namun, jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu masih signifikan. Bukan Melayu, walaupun minoriti, telah mencapai tahap ekonomi yang lebih jauh.

Definisi orang Melayu adalah beragama Islam, ini jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kemajuan dan kejayaan orang Melayu bermakna maju dan berjayalah Islam, dan sebaliknya, kemunduran kita turut memberi kesan kepada Islam.

Oleh itu, orang Melayu yang lahir di tanah Melayu mempunyai tanggungjawab semula jadi untuk memartabatkan Islam.

Apakah kita dapat memastikan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu dan kesucian Agama Islam akan terus diwarisi oleh anak cucu kita di masa hadapan?

Kita juga sering melihat pemilikan tanah dan hartanah oleh orang Melayu dijual dan berpindah kepada Bukan Melayu. Apa yang akan tinggal untuk anak cucu kita generasi akan datang jika keadaan ini berterusan?

Kuasa politik orang Melayu juga semakin terhakis. Kuasa politik ini adalah satu-satunya alat yang memastikan kita kekal relevan di tanah Melayu.

Seperti yang dinyatakan oleh Hang Tuah, “Melayu tidak akan hilang di Dunia.” Namun, Hang Tuah tidak mungkin dapat membayangkan suatu hari nanti orang Melayu akan kehilangan tanah Melayu ini.

Untuk pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira yang besar atau kecil dan seluruh orang Melayu, ada dua langkah penting yang perlu diambil:

  1. Ketepikan kepentingan politik: Utamakan perpaduan dan kepentingan bersama melebihi kepentingan politik individu atau parti.
  2. Lupakan dahulu pemilihan ketua orang Melayu : Tangguhkan dahulu pemilihan ketua pada masa ini. Memilih ketua sebelum waktunya boleh memberi kesan negatif terhadap usaha penyatuan Melayu.

Untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi orang Melayu di Tanah Melayu, serta untuk mengekalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan martabat Agama Islam, perpaduan Melayu adalah kunci.

Melalui dua langkah ini, kita boleh bekerja menuju penyatuan yang berjaya dan masa depan yang kekal menjamin orang Melayu kekal relevan mentadbir tanah Melayu ini.

– Tamat

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp