
Pemilihan kepimpinan parti BERSATU pada Oktober 2024 yang lalu merupakan satu sejarah penting dalam parti itu, malah ia menjadi lebih signifikan berbanding pemilihan sebelumnya.
Ini kerana buat pertama kalinya, BERSATU menjalankan pemilihan sebagai parti pembangkang, yang mana pertandingan kali ini lebih tertumpu kepada usaha BERSATU untuk mengukuhkan saf kepimpinan parti yang benar-benar tulen perjuangannya, bagi menghadapi saingan seteru politik, yang kini menjadi kerajaan.
Jawatan penting yang menjadi tumpuan dalam pemilihan ini adalah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung. Sungguhpun jawatan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, dan Setiausaha Agung adalah lantikan, namun percaturannya kekal menarik.
Ini kerana, sebelum pemilihan ini, pada tahun yang sama, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menamakan Timbalan Presiden, selaku ‘2nd in command’ dalam proses pembaharuan dan pemerkasaan parti.
Atas mandat tersebut, Tan Sri Muhyiddin telah memilih Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden sebagai isyarat jelas bahawa beliau selaku ‘Abah’, mahukan proses pembaharuan dan pemerkasaan BERSATU dijalankan dengan segera.
Pada masa yang sama, Muhyiddin juga telah melantik Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung sebagai tokoh penting untuk mengisi legasi yang ditinggalkan oleh Hamzah Zainudin.
Disini, umum boleh melihat kebijaksanaan Muhyiddin dalam mengurus masa depan BERSATU agar tidak tenggelam dalam tekanan politik sepertimana yang sedang dihadapi oleh dirinya menerusi pendakwaan politik regim Anwar Ibrahim.
Soalnya, mengapa Hamzah dan mengapa Azmin?
Umum mengetahui bahawa Azmin sebelum menyertai BERSATU adalah tulang belakang PKR, beliau berpengalaman luas dalam mengurus organisasi parti dan kebolehannya telah teruji dalam menghadapi musuh politik.
Muhyiddin pastinya melihat Azmin sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pakej lengkap untuk membantu mengurus organisasi parti yang sedang berkembang ketika ini.
Bagi Hamzah pula, pilihan Muhyiddin ini pastinya berdasarkan senario politik yang cukup jelas.
Selain berpengalama luas yang berkhidmat lama sebagai Timbalan Menteri dan Menteri, Hamzah memang dikenali oleh rakan dan musuh sebagai ‘operator politik’ yang ‘gentleman’, sangat berani dan berpengalaman.
Malah dikalangan parti DAP dan pemimpin UMNO sendiri, mereka cukup bimbang dengan kelincahan politik Hamzah yang sukar dibaca atau ditelah.
Gaya politik Hamzah yang ‘low profile’ menjadi kelebihan buatnya kerana karektor tokoh yang suka ‘berkokok’ dan ‘attention seeker’ tak tentu hala, adalah ciri pemimpin yang tidak baik untuk masa depan parti.
Selain daripada itu, Muhyiddin juga sedar bahawa Hamzah mempunyai tempat dan sokongan dari sekutu rapat mereka iaitu parti PAS. Ini menjadi faktor utama mengapa Muhyiddin dan Tuan Guru Haji Hadi, memberi kepercayaan kepada Hamzah untuk menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Penganalisis politik, Anis Anwar Suhaimi yang juga ketua penyelidik O2 Research Malaysia berpendapat bahawa jawatan Ketua Pembangkang diberikan kepada individu yang berpengalaman dan memiliki perwatakan agresif dalam melaksanakan semak dan imbang terhadap blok kerajaan. Beliau menyatakan bahawa perwatakan Hamzah sesuai untuk peranan tersebut.
Antara ingatan penting perbahasan beliau ialah sewaktu memberi hujah tegas berkaitan status enam orang Ahli Parlimen BERSATU yang memberi sokongan kepada Anwar.
Sungguhpun sebelum ini pernah berlaku sedikit ketegangan antara Muhyiddin dan Hamzah, namun kedua-duanya mempunyai neraca pertimbangan yang waras hingga mereka kekal berpadu dan akhirnya Muhyiddin memilih Hamzah calon penggantinya.
Ini neraca yang menjadi perkiraan utama Tan Sri Presiden BERSATU.
Rancangan pemerkasaan kepimpinan BERSATU ketika ini boleh dilihat sebagai langkah pertama ke arah pemulihan dan pemerkasaan politik Perikatan Nasional sebagai ‘kerajaan menanti’, menggantikan kerajaan Anwar.
Congakkan politik BERSATU selepas ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan sesuatu yang lebih
bermakna kepada rakyat.
Oleh : Mueza – Seorang pengamat politik
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com