Negara bukan sahaja memerlukan pengurus yang bagus untuk mengurus sumber kekayaan negara, malah negara memerlukan pengurus yang bagus dalam jumlah yang ramai.
Siapa dia pengurus? dan pengurus bagaimana yang dikira bagus?
Siapa pun boleh ‘Ai’ masalah ini, saya merumuskan bahawa peranan seorang pengurus bukan saja soal menguasai kemahiran sesuatu bidang tugas, sebaliknya pengurus yang bagus wajib mempunyai kemampuan memimpin dengan betul.
Apa maksud ‘memimpin’?, ini pun boleh anda ‘Ai’ untuk mengetahuinya, saya merumuskan keupayaan memimpin ini bukan sekadar mampu memberi arahan dan memahami selok-belok kepimpinan, sebaliknya pemimpin adalah seorang yang mampu mengenalpasti masalah dan mengatur proses penyelesaian sesuatu permasalahan yang kompleks.
Justeru, negara memerlukan pengurus yang juga kumpulan pemimpin yang tahu menggerakkan usaha penyelesaian terhadap masalah, agar sumber kekayaan negara dapat diurus dan ditadbir dengan cekap dan betul.
Ok, kalau kita semak semula dasar dan motto negara, kita akan dengar slogan Bersih Cekap Amanah (1983-2003). Selepas itu kita juga ada dengar Islam Hadhari (2003-2009); Kerja bersama saya, bukan kerja untuk saya. Lepas itu kita juga akan dengar 1Malaysia (2009-2018); Cash is King.
Seterusnya kita akan dengar Kerajaan Prihatin (2020-2022); Kemakmuran Bersama dan kini kita dengar Kerajaan Madani; Reformasi.
Kita boleh tempelak semua dasar dan slogan ini sebagai retorik politik, namun semua ini adalah usaha kerajaan untuk memajukan negara yang dizahirkan menerusi ‘tagline’ yang lebih mudah difahami oleh rakyat.
Di sini kita nak memahami bagaimana slogan yang disandarkan pada dasar-dasar negara itu, berjaya menghasilkan lebih ramai pengurus yang bagus yakni yang mampu mengurus sumber kekayaan negara dengan cekap dan betul.
BCA adalah etika kerja, ia bukan sekadar ayat slogan untuk diikrarkan setiap minggu. Ia satu konsep etika kerja dalam apa jua bidang dan sektor industri.
Dari BCA kita dapat lihat bagaimana metod-metod kerja dan pengurusan muncul serta dihasilkan.
Di zaman BCA (1983-2003) merupakan zaman dimana cukup banyak ilmu dan kemahiran mengenai pengurusan dibawa masuk ke dalam negara khususnya daripada Jepun dan Korea. Ilmu dan kemahiran mengurus ini diterjemahkan untuk melahirkan ‘pengurus’ yang bagus, yang akan berkhidmat di dalam sektor awam dan juga swasta.
Impaknya ialah perubahan kualiti kerja, peningkatan kemahiran dikalangan rakyat, maka muncullah pemuka-pemuka dalam bidang masing-masing. Ini merupakan suatu usaha pemimpin untuk melahirkan lebih banyak pengurus yang bagus, seperti yang diperlukan oleh negara.
Berbanding Islam Hadhari (2003-2009), 1Malaysia (2009-2018), Kerajaan Prihatin (2020-2022) dan Kerajaan Madani (kini), ia adalah sebuah slogan yang bersifat teori dan konsep yang subjektif. Ia suatu slogan indah fantasi yang fokus untuk meniup semangat dari kekosongan imaginasi.
Memahami peranan dari makalah Al-Imam yang mula diterbitkan pada 1906 dahulu. Tujuan sebenar penerbitan ini ialah menjadi wahana bagi menyedarkan bangsa Melayu dan umat Islam untuk bangkit bekerja menguasai ilmu pengetahuan, keluar dari kepompong khayalan.
Ketika itu, Al-Imam berasa bertanggungjawab untuk mencegah orang Melayu terutama golongan pembesar daripada khayalan dan kelalaian yang telah menyebabkan kemunduran dan kehinaan bangsanya dan tanah airnya.
Dalam penerbitan Al-Imam, banyak ditekankan tentang usaha menguasai ilmu pengetahuan dan melakukan perubahan sikap agar bangsa Melayu dan Islam boleh berdikari hingga mampu mengurus dan memajukan negara.
Dengan kata lain, seruan agar orang Melayu dan Islam bangkit hingga mampu menjadi ‘pengurus’ yang berjaya, sudah dilakukan sejak 10 dekad lalu.
Pada awal 1900an lagi, Al-Imam telah menyeru orang Melayu supaya menoleh ke negeri Jepun. Rakyat Jepun menerima perubahan atau menjalankan islah dalam bidang politik, ekonomi dan juga pertahanan, tetapi masih tetap dengan agama mereka. Walau agama apa pun yang mungkin dianuti oleh bangsa Jepun itu, namun ia tetap akan maju seperti itu juga.
Mungkin secara kebetulan, Mahathir yang menjadi Perdana Menteri pada 1982, terus meletakkan asas ‘Pandang Ke Timur’ dan seterusnya menerapkan BCA sebagai teras perubahan sikap orang Melayu untuk menjadi pengurus yang bagus, yang memimpin perubahan negara. Sebab itulah akhbar yang diterbitkan dinamakan Al-Imam (Pemimpin).
SEKIAN
- Mahdzir Ibrahim, Penulis yang mendukung perjuangan nasionalisme
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com