TERKINI

Negarawan Bekerja Untuk Sebuah Generasi, Bukan Parti

Matahir Mohamad – foto facebook Dr Mahathir

Tak perlu apalogetik dengan realiti politik hari ini. Biar ia telus, kerana dengan ketelusan itu rakyat boleh menilai kita semua dengan lebih adil.

Memang ada kekecewaan dikalangan pimpinan Sekretariat Proklamasi Orang Melayu (POM) apabila pimpinan Perikatan Nasional mengumumkan calon bagi pilihanraya negeri 2023.

Kekecewaan itu melibatkan beberapa nama yang dicadangkan oleh Sekretariat POM untuk dimajukan kepada pimpinan PN untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili PN, namun belum rezeki orang Melayu kata.

Walau bagaimana pun, kekecewaan ini padam apabila Tun mengingatkan kita bahawa ada urusan yang lebih utama, untuk diutamakan berbanding dengan kekecewaan.

Satu keputusan secara konsensus yang tidak berbelah bahagi bahawa gerakan Proklamasi Orang Melayu akan teguh menyokong Perikatan Nasional dalam pilihanraya negeri ini. Kemenangan PN ke atas PH/BN boleh membuka jalan untuk memperkukuhkan kembali kedudukan kuasa politik orang Melayu.

Kenapa hujahnya begitu? Mari kita fahami kembali, keutamaan Proklamasi adalah untuk memberi kesedaran kepada rakyat khususnya orang Melayu tentang masalah dan cabaran masa depan mereka. Masalah Melayu adalah masalah negara, bukan masalah etnik terpencil.

Untuk menjawab permasalahan mereka, tidak ada cara lain lagi iaitu dengan mengenepikan apa jua masalah dan perbezaan antara parti politik, sebaliknya Melayu perlu sedar dan bersatu untuk keluar mengundi beramai-ramai dan memilih calon yang mengutamakan agenda bangsa, agama dan negara. Ketika ini, calon itu datang dari PN.

Tun M yang memang kita kenal dengan ‘kedegilan’nya mahu kesatuan Melayu diutamakan melangkaui perbezaan kepartian.

Bagi saya, sikap Tun M ini jelas menunjukkan sifat seorang ‘Negarawan’.

Seorang negarawan tidak boleh diugut dengan kepentingan politik kepartian. Seorang negarawan tidak akan tunduk dan lemah kerana perbezaan ideologi politik, dan seorang negarawan tidak bekerja untuk suatu kelompok sebaliknya seorang negarawan bekerja untuk sebuah generasi.

Sebelum wujudnya ‘kerajaan perpaduan’ yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim, Tun terlebih dahulu mengetahui masalah ini dan mencadangkan kewujudan kerajaan perpaduan ketika beliau menjadi Perdana Menteri Interim pada 2020.

Malangnya, apa yang Tun M nampak dan cadangkan ketika itu, tak mampu dilihat oleh ahli-ahli politik yang lain hingga cadangan itu ditolak mentah-mentah, khususnya pemimpin DAP.

Hari ini, puak-puak yang menolak cadangan kerajaan perpaduan oleh Tun M inilah yang mendirikan kerajaan perpaduan bersama-sama UMNO dan kumpulan kleptokrat. Ini rekod, bukan retorik.

Begitu juga pada Pilihanraya ke 15 lepas. Tun M menghulurkan tangan kepada PH dan PN untuk bersatu dan bekerjasama menentang BN, sekali lagi cadangan itu ditolak.

Akhirnya, kedua-dua PH dan PN gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan hingga kerajaan lewat ditubuhkan. Dan, kita boleh lihat betapa cacamarbanya kerajaan pada hari ini.

Pada PRN 2023 ini, objektif yang Tun Mahathir tetapkan cukup jelas iaitu orang Melayu perlu keluar mengundi beramai-ramai dan sokong PN.

Kejayaan PN dalam PRN ini boleh membuka jalan untuk kita memperbetulkan masalah orang Melayu. Tun ingatkan, masalah orang Melayu ialah masalah negara kerana ia rakyat majoriti di Malaysia. Inilah cadangan seorang Negarawan.

Mahdzir bin Ibrahim – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp