BAHAGIAN SATU
Akta Perubatan 1971 telah dipinda pada tahun 2012 di mana Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menurunkan kuasanya, untuk mengakreditasi (program latihan perubatan) dan mengiktiraf kelayakan, kepada Majlis Perubatan Malaysia MMC (badan Profesional yang mentadbir profesion pengamal perubatan).
Oleh itu, hanya kelayakan yang diiktiraf oleh MMC boleh digunakan oleh doktor untuk memasuki Daftar Perubatan (untuk mahasiswa) dan Daftar Pakar Kebangsaan NSR (untuk pakar).
Pengiktirafan ini bukan secara mulut atau surat-surat sokongan persatuan, kolej-kolej, individu-individu tetapi pengiktirafan kelayakan mesti didahului oleh program latihan kepakaran yang telah menerima tauliah selepas lulus proses jaminan kualiti program iaitu akreditasi.
NSR telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2017. Selepas tarikh ini, semua kelayakan untuk latihan kepakaran mestilah daripada program bertauliah agar kelayakan tersebut diiktiraf.
Dengan pengiktirafan ini, pakar perlu menjalani sekurang-kurangnya 1 atau 2 tahun latihan lagi sebelum mereka layak memohon untuk memasuki NSR. NSR adalah daftar yang amat penting (sacred) bagi kami.
Pakar yang telah berdaftar dalam NSR dibenarkan bekerja secara bebas di mana-mana sahaja di negara ini, bukan hanya di Hospital KKM dan mereka tidak perlu lagi dipantau.
Setelah berada dalam NSR, para pakar boleh menduduki mana-mana peperiksaan luar negara lain dan menambah kelayakan tersebut pada CV mereka.
Mereka juga boleh beralih untuk latihan sub-kepakaran. Kualiti pakar yang memasuki NSR dilindungi oleh pindaan Akta Perubatan yang dibuat pada tahun 2012.
Kewajipan ketua program dan Higher Education Provider HEP adalah untuk memastikan piawaian pakar yang dihasilkan, memenuhi keperluan bidang kepakaran masing-masing berasaskan undang-undang.
Proses akreditasi oleh MMC adalah telus dan dijalankan oleh panel penilai dalam bidang yang dilantik bersama oleh MMC dan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Proses akreditasi program kepakaran tidak boleh dilakukan oleh badan yang memberi kelayakan.
Badan yang memberi kelayakan tidak boleh mengiktiraf kelayakan sendiri tanpa proses akreditasi oleh badan bebas.
Proses akreditasi ini adalah proses jaminan kualiti program iaitu proses melihat kesediaan kelayakan tenaga pengajar, tempat latihan kepakaran, kurikulum, cara peperiksaan dan penilaian calon, reputasi institusi dan kebolehan mereka menjalankan program kepakaran dan memberi pembuktian atas latihan yang akan atau telah dijalankan.
Proses jaminan kualiti atau akreditasi ini wajib dibuat secara berkala bukan one-off. Menjalankan program kepakaran ini adalah aktiviti sepenuh masa.
Panel penilai akreditasi akan melaporkan kembali kepada MMC dan mencadangkan penambahbaikan atau membenarkan akreditasi (akreditasi sementara atau penuh).
Saya arif hal ini kerana saya juga melalui proses tersebut semasa saya membangunkan Program Kepakaran Pembedahan Pediatrik untuk UKM.
Program Parallel Pathway KKM membawa jenama kelayakan luar negara tetapi latihannya adalah 100% tempatan dan ada yang pergi attachment di luar negara. Rujuk di sini.
Kerajaan kita telah membelanjakan sejumlah besar wang rakyat untuk program-program ini. Namun KKM dan Ketua-Ketua Program (dari semua 14 kepakaran) tidak memastikan program tersebut diakreditasi, justeru kelayakan luar negara ini tidak boleh diiktiraf oleh MMC.
Program parallel pathway KKM ini berlangsung sejak 2014, dikendalikan oleh persatuan, akademi-akademi di bawah Pendaftar Pertubuhan; mereka bukan HEP di bawah KPT yang sah dari segi Undang-Undang.
Pada asasnya, KKM mahu kelayakan luar negara terutama dari UK dan Australia ini diiktiraf tanpa proses jaminan kualiti. Mereka menggunakan pengiktirafan pakar-pakar senior sebelum tarikh kuat kuasa NSR pada 1 Julai 2017 untuk kekal menjalankan program.
Sedangkan pengiktirafan pakar-pakar terdahulu adalah kerana klausa penyelamat dalam Akta Perubatan 1971 (pindaan 2012). Klausa penyelamat ini tidak lagi terpakai selepas NSR berkuatkuasa.
Majlis perubatan negara asal di mana kelayakan ini berpunca (UK’s General Medical Council GMC dan Australia Medical Council AMC) juga telah menyatakan secara rasmi bahawa doktor dari negara kita dengan kelayakan ini perlu menjalani latihan lanjut di negara mereka jika ingin diiktiraf sebagai pakar di UK atau Australia.
Jika di negara asal pun memerlukan laluan tambahan, kenapa kita beria-ria menurunkan standard untuk negara sendiri?
Setiap negara mempunyai undang-undang mereka sendiri untuk memastikan kualiti pakar yang merawat rakyat mereka adalah bertaraf tinggi.
Penyelesaian kepada masalah ini bukan dengan meminda undang-undang kita yang telah menjaga kualiti pakar tetapi mencari jalan untuk membolehkan doktor memasuki NSR secara sah.
KKM mesti memindahkan graduan (mereka yang telah lulus) dari parallel pathway ke program bertauliah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi KPT (program kepakaran tempatan anjuran Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berdaftar) dan memastikan mereka melalui penilaian tahun akhir iaitu penilaian yang dilakukan oleh Jawatan Kuasa (JK) Bersama Kepakaran Disiplin berkenaan.
JK Bersama Kepakaran ini diwakili oleh pakar-pakar dari setiap universiti dan dari KKM sendiri. Setelah mereka lulus peperiksaan dan penilaian, mereka boleh memenuhi syarat lain untuk memasuki NSR.
Keengganan pihak KKM menerima saranan ini perlu dipersoal kerana jika benar para doktor ini yang membawa kelayakan dari UK dan Australia ini berkualiti, mereka sepatutnya tidak ragu-ragu menduduki peperiksaan akhir pakar dari program tempatan.
Salam hormat,
Dr. Dayang Anita Abdul Aziz DNS
Bersambung bahagian akhir
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com