TERKINI

Pendirian Anwar Mengenai LGBT: Ke Arah Malaysia Yang Sekular?

Anwar Ibrahim (kiri), Christiane Amanpour (kanan) – foto Berita Harian

Dalam temubual bersama wartawan CNN, Christiane Amanpour, di New York pada 23 September 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditanya pendiriannya mengenai LGBT. Beliau menjawab:

“Muslims and non-Muslims alike, there is a consensus – they do not accept this, open public displays of this (LGBT) but do we then go and harass them? That is a different subject. I do not approve of any attempt to harass,”

Beliau kemudiannya ditanya mengenai insiden rampasan jam Swatch dengan warna berunsur LGBT di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau jawab:

“I cannot defend the action of enforcement officers.”

Apabila ditanya adakah beliau ingin melihat perkara itu berubah, beliau menjawab:

“Of, course…the consensus of the people, I have to respect. But it should not be seen as harassment.”

Mengenai undang-undang kesalahan liwat dalam Kanun Keseksaan, beliau berkata:

“I have made it quite clear that we have to review, look at the law; it should not be abused, in the case that I went through it was used for political persecution, but finally we have to respect the general sentiments of Malaysians…We should exercise some tolerance as the issue against the LGBT (community) is harassment and that I think we have to avoid.”

Sekali baca kenyataan Perdana Menteri ini biasa sahaja. Tidak ada apa yang serius. Jika dilihat dari segi konteksnya, Anwar ditemubual oleh wartawan CNN di New York.

Anwar dalam bahasa mudahnya cuba “play to the gallery”. Cuma ‘gallery’ Anwar ada dua. Satu di Barat. Anwar suatu ketika dahulu digelar sebagai “the darling of the West”.

Setelah menjadi Perdana Menteri, lawatan sulungnya ke Amerika Syarikat sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kali Ke-78 adalah pentas terbaik untuk beliau menghidup dan menggilap semula imejnya sebagai “the darling of the west”.

Jadi, jawapannya kepada soalan mengenai LGBT tidak boleh dilihat bertentangan dengan fahaman libertarian Barat.

Kedua, “gallery” Anwar ialah masyarakat majoriti Islam di Malaysia yang berfahaman konservatif. LGBT adalah haram di sisi agama dan haram di sisi undang-undang negara, baik undang-undang jenayah syariah mahupun Kanun Keseksaan.

Jadi, jawapannya mengenai LGBT tidak boleh dilihat bercanggah dengan fahaman atau yang beliau sebut ‘konsensus’ masyarakat Islam di Malaysia.

Ketika ini pun beliau berhadapan dengan masalah tahap sokongan orang Melayu yang rendah kepada partinya. Tentunya Anwar tidak mahu menambah masalahnya dengan orang Melayu.
Jadi, beliau mesti mencari keseimbangan antara keduanya.

Namun, mencari keseimbangan antara dua sudut pandang ini, iaitu libertarian-Barat dan konservatif-Islam, bukanlah sesuatu yang mudah.

Saya tonton video temubual Anwar dengan Amanpour, beliau kelihatan bersusah-payah (struggling) untuk menjawab soalan ini. Kenapa saya kata bukan mudah?

Dari segi kacamata libertarian Barat, LGBT adalah hak. Kerajaan tiada kuasa untuk membuat undang-undang menghalang pengamalan hak ini. Dalam jurisprudens undang-undang Barat, ada satu konsep yang dikenali sebagai jenayah moral (moral crime).

LGBT ini kalau salah pun dari segi moral sahaja dan kerajaan tiada kuasa untuk menghukum kesalahan moral. Kenapa? Kerana tidak ada mangsa dalam jenayah moral. Pengamal LGBT mengamalkan gaya hidup mereka secara ‘consensual’ atau secara sukarela.

Menurut jursisprudens Barat, yang kerajaan boleh hukum ialah jika perlakuan jenayah itu ada mangsanya. Bunuh ada mangsanya. Curi ada mangsanya. Pukul ada mangsanya.

Zina, minum arak, hubungan sejenis yang dilakukan secara konsensual tidak ada mangsanya (kecuali jika memandu dalam keadaan mabuk yang boleh menyebabkan kemalangan). Jadi perbuatan-perbuatan ini tidak boleh dihukum.

Apatah lagi undang-undang agama. Lagilah tidak ada kuasa untuk menentukan gaya hidup manusia. Bagi penganut faham libertarian Barat yang sekular, mesti ada pemisahan sepenuhnya antara agama dan negara. Religion is a private matter and should be kept private at all times. Religion should not enter into the public sphere.

Nak sembahyang boleh. Nak puasa boleh. Tetapi salah bagi kerajaan menghukum orang yang tidak sembahyang atau tidak berpuasa. Ini faham libertarian Barat yang sekular.

Oleh kerana Malaysia bukanlah negara sekular, negara kita ada undang-undang jenayah syariah mengenai kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak berpuasa pada bulan Ramadhan tanpa uzur syari’e.

Tetapi di Malaysia ada juga mereka yang menganut faham libertarian Barat yang sekular. Kerana itu di negara kita telah ada kempen yang dipelopori oleh kumpulan yang dinamakan ‘Islam liberal’ dan juga kumpulan hak asasi manusia sejak tahun 2000-an yang menentang apa yang mereka namakan sebagai ‘moral policing’.

Ini merujuk kepada serbuan oleh pihak berkuasa agama ke atas kelab-kelab malam dan rumah-rumah urut untuk mencegah maksiat dalam kalangan orang Islam.

Kumpulan ini menganggap serbuan-serbuan oleh pihak berkuasa agama ini sebagai ‘harassment’ (gangguan) dan pelanggaran hak asasi.

Pandangan libertarian Barat ini bertentangan dengan jurisprudens Islam. Dalam Islam, hukum agama ditentukan oleh syarak yang bersumberkan al-Quran, hadis, ijmak dan qias serta sumber-sumber hukum lain yang diiktiraf oleh para ulama’.

Tidak ada konsep jenayah moral dalam Islam. Samada perbuatan itu ada mangsa atau tidak, ia tetap jenayah sekiranya dinyatakan dengan jelas sebagai jenayah oleh sumber-sumber hukum syarak.

Misalnya minum arak, hubungan sejenis dan zina adalah jenayah dalam Islam walaupun tidak ada ‘mangsa’. Kerana itu ada undang-undang Islam yang menetapkan hukuman bagi jenayah-jenayah ini.

Undang-undang ini telah menjadi sebahagian daripada sistem perundangan Islam di negara kita. Menurut sejarah, undang-undang Islam ini telah pun wujud di alam Melayu sejak zaman kesultanan Melaka lagi.

Ketika Barat masih berada di zaman gelap, tamadun Melayu telah mengamalkan undang-undang Islam (kemuncak zaman pencerahan Barat yang mengagungkan sekularisme pun berlaku pada akhir kurun ke-18, iaitu lama selepas Melaka muncul sebagai sebuah tamadun Melayu).

Ketika menjawab soalan Amanpour di New York, Anwar tersepit di tengah-tengah pertembungan antara dua tamadun. Tamadun sekular-liberal Barat dan tamadun Islam-konservatif alam Melayu.

Kerana itulah beliau terlihat bersusah-payah menjawab dalam mencari keseimbangan antara keduanya. Mana mungkin ada keseimbangan kerana kedua-duanya berada di dua ufuk yang berbeza. Both are poles apart.

Lalu timbul persoalan-persoalan daripada jawapan Anwar kepada Amanpour. Kerana beliau adalah Perdana Menteri, setiap kata yang terkeluar dari mulut Perdana Menteri adalah pernyataan dasar kerajaan.

Isunya bukan lagi pertembungan antara dua tamadun yang selalunya berlegar di ruang wacana akademik, tetapi isu dasar negara. Ini yang menarik perhatian kita sebagai rakyat yang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam menentukan hala tuju dasar negara.

Apabila Anwar berkata beliau tidak boleh mempertahankan tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik kedai Swatch yang menjual jam tangan bermotif LGBT, adakah ini bermakna selepas ini tiada lagi penguatkuasaan seumpama itu boleh dibuat oleh kerajaan kerana ia akan dikatakan mengganggu (harass) pengamal atau penyokong LGBT?

Apabila ditanya oleh Amanpour adakah beliau ingin melihat berlaku perubahan selepas ini, beliau terus menjawab “tentu sekali”.

Adakah ini bermakna kerajaan akan meminda undang-undang tertentu yang dilihat mengganggu kebebasan pengamal LGBT?

Beliau juga menyentuh mengenai kesalahan liwat dalam Kanun Keseksaan. Beliau berkata undang-undang tersebut juga akan dikaji semula supaya ia tidak digunakan sebagai alat untuk melakukan pendakwaan politik (ini merujuk kepada pendakwaan ke atas beliau sendiri sebelum ini).

Ada dua perkara di sini. Pertama, undang-undang kesalahan liwat. Kedua, undang-undang tersebut digunakan untuk tujuan pendakwaan politik.

Sebenarnya undang-undang mana sekalipun boleh digunakan sebagai alat pendakwaan politik. Yang perlu dikaji bukanlah undang-undang itu. Tetapi sejauh manakah prinsip asas demokrasi iaitu “government is limited by law” dan reformasi institusi diamalkan?

Jika institusi-institusi utama negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak bebas sepenuhnya daripada pengaruh Eksekutif politik, undang-undang lalu lintas pun boleh digunakan sebagai alat pendakwaan politik.

[Saya membahagikan cabang Eksekutif kepada dua. Pertama, Eksekutif bukan politik (non-political Eecutive) iaitu penjawat awam yang mana AGC, PDRM dan SPRM adalah sebahagian daripadanya dan keduanya Eksekutif politik (political Exceutive) yang terdiri daripada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri].

Jadi, persoalan yang timbul daripada jawapan Anwar kepada Amanpour itu ialah adakah undang-undang kesalahan liwat dalam Kanun Keseksaan akan dipinda?

Apa pula pendirian kerajaan mengenai kesalahan liwat dalam undang-undang jenayah syariah negeri Selangor yang telah diisytiharkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak sah?

Adakah ia akan dibiarkan begitu sahaja? Tidakkah akan dibuat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan undang-undang jenayah syariah itu sebagai sah?

Ketika menyampaikan ucapan dalam forum mengenai ‘gelombang hijau’ di Singapura baru-baru ini, saya menolak andaian berlakunya ‘gelombang hijau’ di Malaysia yang merujuk kepada perubahan negara ini ke arah amalan dan fahaman agama yang semakin ekstrem.

Seolahnya, sedang berlaku gelombang Islamisasi yang besar di Malaysia. Saya katakan yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Malaysia sedang berhadapan dengan proses sekularisasi dan de-Islamisasi.

Jika soalan-soalan di atas dijawab “ya”, maka benarlah apa yang saya katakan itu.

Bagi saya, jawapan Anwar kepada Amanpour menimbulkan lebih banyak persoalan.

Datuk Dr. Marzuki Mohamad – bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Muhyiddin Yassin.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp