Saya memilih untuk beralih kepada garis politik nasionalisme, dan meninggalkan garis politik sosial demokrasi yang tidak lagi sesuai dengan jiwa dan intelek saya.
Ini semua tentang aliran politik, sebagai contoh DAP meletakkan kompas politiknya sosialisme demokrasi, yang berteraskan nilai-nilai universal yang dipelupori oleh negara-negara era perang dingin, ia berbeza dengan nasionalisme yang wujud sebelum era tersebut.
Apa itu nasionalisme? Nasionalisme ini adalah faham garis politik kebangsaan, nasionalis meletakkan nilai atau semangat cinta kepada negara sebagai tujuan moral dan kompas politik.
Garis politik nasionalisme hari ini terpencar-pencar dibeberapa kelompok organisasi. Ada yang bergerak di dalam parti seperti UMNO, BERSATU, Pejuang, Warisan malah, mungkin ada sedikit di dalam PAS dan parti Amanah. Nasionalis ini juga ada di dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu banyak jumlahnya.
Perserakkan ini bagaimanapun hanya terzahir dalam satu bentuk sahaja, dan bentuk itulah yang menjadi pertikaian dan mendapat label sebagai ‘assabiyah’ atau ‘rasis’ dikalangan seteru politik atau pemerhati.
Bercakap mengenai bentuk atau rupa perjuangan para nasionalis ini, saya harus berterus terang sekalipun ia pedih, khususnya kepada rakan-rakan yang ada dalam garis politik nasionalis.
Bentuk gerakan nasionalis ini sejak merdeka hinggalah bulan ini September 2024, tidak ada dinamik, bentuk dan imejnya terpisah dari realiti zaman.
Saya maksudkan, imej atau bentuk gerakan nasionalis ini klise, tipikal, tidak menarik malah imejnya itu mendatangkan fitnah bagi generasi x, y dan z.
Kita boleh saja mengambil jalan pintas dengan menyalahkan generasi baru yang ‘tidak faham’ tentang nilai perjuangan atau kita katakan mereka sebagai kumpulan Melayu yang ‘apologetik’ tentang nilai kebangsaan. Bagi saya, ini sikap culas yang tidak seharusnya diteruskan. Berhentilah menyalahkan orang lain.
Kerana itu, dibeberapa forum terbuka mahupun tertutup yang saya hadir, tidak kelihatan wajah anak-anak muda menyertai forum dari kumpulan nasionalis ini. Kerana saya yakin, tajuk, panelis dan pakejnya memang tak menyentuh hidup golongan muda.
Hingga pada satu ketika, bukan sahaja panelis forum yang hadir menyebut tentang ‘kehilangan’ generasi baru pasca merdeka dalam forum dan wacana mereka, malah peserta yang hadir juga turut bercakap tentang kelesuan wacana tanpa kehadiran generasi muda.
Kerana itu yang saya katakan, imej politik nasionalisme ini klise dan tidak realistik hingga tak menyentuh realiti zaman.
Persoalan-persoalan yang diajukan seperti ‘nasib Melayu’, ‘perjuangan bangsa’, ‘hak istimewa’, ‘kedaulatan’, ‘bahasa Melayu’ semua ini tidak terzahir dalam wajah baharu, dalam linggo yang baharu dan menarik.
Malah, yang berkata itu juga orang lama, yang mengulas juga cerita-cerita klise, yang menyokongnya juga kawan-kawan sekufu.
Belum lagi lihat imej-imej yang ditampilkan, ia juga klise. Bertengkolok, bersamping, berkeris dan bercapal, yang saya anggap semua itu imej-imej tipikal. Imej-imej ini menggambarkan betapa rigidnya semangat nasionalisme, betapa terpisahnya nasionalis dengan real politik.
Saya tak mengkritik seni warisan budaya kita yang harus dipelihara, tidak. Tetapi saya bercakap tentang ‘fesyen’. Politik juga adalah fesyen. Politik bukan replika budaya yang jumud, yang kekal tak berubah sepanjang zaman.
Mahathir sendiri hari ini membaca dan belajar tentang AI (artificial intelligence), dia juga belajar tentang IoT (internet of things). Sedangkan jika ikut lojik, apa perlunya Mahathir yang dah tidak ada apa-apa jawatan untuk belajar semua benda itu.
Ini semua menunjukkan bahawa politik ini dinamiknya begitu luas dan pantas. Kita perlu berubah, dan berubah dengan segera, jalan pertama untuk berubah ialah dengan belajar menolak perbezaan antara kita.
-Tamat
Mahdzir Ibrahim, penulis bebas
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com