TERKINI

POLITIK MELAYU : Jangan sampai “Sudah terantuk, baru tengadah”

Zaini Hassan – malayadaily.com

SEMASA saya menulis buku Cuit: Dilema Melayu Baru pada 2013 saya menyebut Melayu kini sudah menjadi minoriti.

Ia berlaku kerana Melayu (pada ketika itu) sudah berpecah-pecah kepada banyak fraksi.

Kesannya hari ini. Melayu sudah hilang kuasa politik. Perdana Menteri yang ada dan timbalan-timbalannya hanyalah simbolik sahaja.

Selepas ini mungkin kuasa itu akan hilang terus. Jangkaan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ia akan berlaku sekurang-kurangnya dalam dua PRU lagi.

Formula yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk melihat kejatuhan kuasa Melayu di Malaysia semakin kelihatan. Simulasinya semakin menjadi.

Malangnya, seperti berulang kali diingatkan, Melayu masih malu mahu mengakuinya bahawa orang Melayu sudah mulai menjadi minoriti.

Malah dari rumah kuning kepada para pentadbir — birokrat, orang politik malu-malu mahu mengakuinya. Ada yang hanya berani bercakap di belakang sahaja.

Kelihatan jelas, ada cubaan demi cubaan mahu memecahkan lagi kuasa Melayu ini — sehingga berakhir.

Ada anasir yang mungkin kita tidak sedar dan sangat halus sedang melakukannya.

Mereka kini menyerang pula ke arah Pas dari pelbagai sudut — dengan menggunakan jari-jemari orang Melayu sendiri.

Bagi mereka parti itu harus dipecahkan. Cubaan pertama mereka sudah berjaya dilakukan beberapa tahun lalu apabila diwujudkan serpihan Pas, yang kononnya lebih liberal iaitu Amanah.

Semua orang tahu siapa di belakang Amanah dan yang “menaja” mereka. Itu bukan rahsia lagi.

Apa yang dikhuatiri oleh pihak-pihak itu, Pas kini dilihat semakin mendapat perhatian orang Melayu UMNO yang mencari-cari wadah baharu pasca-Zahid Hamidi.

Ada yang kebingungan ke mana hendak dituju. Ada yang sedang mencari tapak mana yang akan dipangkah dalam PRU akan datang?

Bersatu yang juga serpihan UMNO pula dilihat mereka tidak stabil kerana warisan budaya merebut kuasa yang masih membelenggu para pemimpinnya. Bersatu bukanlah sebuah entiti yang menjadi pilihan, sekiranya budaya begitu masih kekal.

Menurut penganalisis, Pas dengan perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, dianggap sebagai satu-satunya parti Melayu (pada saat ini) yang mempunyai ideologi yang jelas.

Malah, Pas juga sudah mulai terbuka menerima para pemimpin “rocket scientist” berbanding “ilmu tauhid” semata-mata. Inilah yang dilihat oleh orang Melayu.

Oleh itu bagi musuhnya, Pas wajib dimusnahkan. Selagi Pas gagal dimusnahkan maka matlamat berteraskan Malaysian Malaysia akan gagal direalisasikan.

Wang bukan menjadi hal untuk mencapai matlamat itu. Ia boleh ditaja oleh ramai pihak — sama ada dari dalam mahu pun unsur luar. Ia akan digunakan untuk menghalalkan cara. Pas adalah benteng terakhir Melayu yang wajib dilenyapkan.

Malang sekali ada orang Melayu, waima terpelajar sekali pun masih tidak nampak kepada muslihat itu. Ia sedang berlaku secara halus.

Jika sekarang Melayu yang minoriti, akibat selerak-tarak, pun masih boleh memegang tampuk atas pemerintahan, amalan itu juga harus ditamatkan.

Benarlah kata pepatah orang Melayu lama “sudah terantuk, baru tengadah” maka jika itu berlaku ia sudah terlambat.

Lihatlah apa yang terjadi kepada kepulauan Melayu Temasik; milik siapakah sekarang? Lihatlah betapa merempatnya wilayah Melayu di Patani, Singgora (Songkhla), Ligor (Nakhon Si Thammarat) dan Lingga (Surat Thani); dan lihatlah tragedi Nakba (catastrophe) atau “malapetaka” di Palestin, yang menangis air mata darah sekali pun, nasi sudah menjadi bubur…

Sejarah tidak pernah berbohong. Ia boleh berulang, di sini.

– Artikel ini telah disiarkan di bebasnews.my

Zaini Hassan – Penerima anugerah prestij Kewartawanan Kajai 2005 Institut Akhbar Malaysia (MPI); Wartawan Terbaik Negara 2008 Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM); Best Journalist of the Year 2009 National Press Club (NPC); Tokoh Wartawan Politik 2011.

Bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan; bekas kolumnis Cuit Utusan Malaysia (2008-2017) yang kontroversial. Kini Penasihat Editorial BebasNews.my

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp