Masih ada kepimpinan pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan parti-parti politik termasuk mereka yang menganggotai Kerajaan Malaysia pada hari ini yang masih buta mengenai negara bangsa mereka sendiri!
Ketidakfahaman tentang bumi dipijak, dan langit dijunjung sebagai jati diri bangsa mereka menunjukkan mereka berpegang dengan ideologi politik radikal yang menolak bangsa Malaysia yang menjadi asas keterikatan koletif politik warganegara kepelbagaian Bahasa, budaya dan agama untuk kehidupan bersama dalam aman damai, makmur dan sejahtera di negara ini.
Bapa perjuangan seperti Dato Onn Jaffar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan telah melakarkan landasan perjuangan kemerdekaan dengan menolak politik radikal. Mereka mengamal politik muafakat untuk mencapai kemerdekaan melalui proses kedamaian dan berlandaskan Perlembagaan negara ini.
Mereka sedar perjuangan kemerdekaan mereka lahir dari sejarah kebangkitan nasionalisme bangsa Melayu semasa penolakan Melayu terhadap cadangan Malayan Union yang mahu memusatkan pentadbiran British di Tanah Melayu dengan memansuhkan kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Cadangan Malayan Union gagal kerana British tidak mengambil kira sikap dan bentuk amalan politik masyarakat Melayu yang melalui kesedaran dan pergerakan massa dari kepelbagaian persatuan-persatuan telah bersatu demi memperjuangkan bangsa Melayu bertunjangkan agama, bahasa dan tanah air.
Sebenarnya penjajah British mudah lupa kerana permulaan penguasaan pentadbiran British di Tanah Melayu telah berlaku melalui perjanjian yang mereka memperakui dan menerima payung sistem sosio-politik Kesultanan Melayu bermula dari Perjanjian Pangkor lagi.
Sebenarnya cadangan Malayan Union lebih menggambar dasar British anti terhadap orang Melayu dan lebih condong pro kepada pendatang Cina dan India dari segi memberi kerakyataan berdasar jus soli. Politik
Namun, orang Cina dan India tidak menunjukkan minat mereka terhadap Kertas Putih British tentang kerakyatan yang sama rata itu. Malahan kebangkitan ideologi politik radikal dan keganasan mula terserlah dalam golongan kanan terdiri dari Cina kelahiran China dan penyokong Parti Kuomintang Malaya serta golongan kiri terdiri dari penyokong Parti Komunis Malaya telah berpegang dengan pendirian yang sangat kritikal terhadap Kertas Putih British yang dianggap mereka sebagai agenda tersirat.
British menjadi lebih curiga terhadap komuniti Cina selepas PKM telah melancarkan pemberontakan sehingga British bertindak mengisthirkan darurat pada tahun 1948. Berikut pemeberontak PKM ini, British menjadi lebih sangsi terhadap kesetiaan orang Cina terhadap negara bangsa akan dibentuk ini.
Henry Gurney dan pentadbiran di Malaya telah berpandangan hanya orang Cina yang setia kepada Tanah Melayu diterima sebagai warganegara baru nanti. British sentiasa curiga terhadap Cina kelahiran China, penyokong KMT dan sangat curiga terhadap orang Cina menjadi penyokong komunis.
Dalam suasana kemelut politik di antara dan di dalam masyarakat Melayu, Cina, India dan British dalam perjalanan perbincangan ke arah kemerdekaan, British telah berpendirian tegas terhadap komuniti Cina dengan memberi cadangan autoritatif bahawa a Malayan Nation mesti menerima dan menjadi setia kepada bangsa Malaya, iaitu malayanised dan memutuskan hubungan lama mereka dengan negara China yang boleh diterima.
Cadangan autoritatif British ini telah memberi peluang untuk membina masa hadapan mereka dengan memalayankan mereka dan hidup bersama dengan komuniti-komuniti lain.
Dalam nada ini, Tun Tan Cheng Lock berpandangan bahawasanya komuniti pendatang Cina supaya bertukar arah dan kiblat dari politik berpusatkan negara China, mendarahdagingkan semangat kesedaran sebagai warga Malayan dan membuktikan kesetiaan dan patriotisme mereka kepada Malaya.
Beliau juga telah memperincikan orang Cina mesti memiliki identiti politik yang setia dan taat kepada Malaya. Namun begitu sebagai sebuah masyarakat kepelbagaian, Tan Cheng Lock juga mengingatkan identity budaya Cina mesti berasaskan mengetahui Bahasa Cina, mengamalkan adat Cina dan tradisi.
Beliau berpandangan identity buaya Cina tidak boleh jadi orang Melayu atau India. Bagi beliau tidak ada orang menjadi berperadaban dengan menghapuskan hubungan mereka dengan akar mereka sendiri.
Pendekatan muafakat, moderat dan sama-sama menang Tan Cheng Lock ini yang memahami dan menerima kedudukan orang Cina yang dibatasi oleh autoriti British dan kesanggupan untuk terlibat sama berbincang dengan masyarakat Melayu untuk mencapai hasil berdasar tolak ansur yang terbaik.
Pendekatan muafakat Tan Cheng Lock ini dijadikan asas Parti Pertubuhan Cina Malaya dan menolak pendekatan radikal, kiri dan perbincangan mesti menang yang idealis dan tidak boleh bertolak ansur demi mencapai muafakat bersama.
Dalam perjalanan mencapai kemerdekaan pelbagai usaha telah dijalankan termasuk penubuhan Committee Liaison Community dan Suruhanjaya Reid untuk mendapat suara-suara akar umbi untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Ini menunjukkan sepanjang perjalanan sebelum merdeka ini, pendekatan perbincangan berlegar dengan tuntutan dan tolak nasur antara kumpulan etnik menjadi amalan bersama.
Isu-isu utama dalam kalangan politik komuniti Cina dari 1946 hingga 1951 adalah kewarganegara, pendidkan Cina dan penolakan mereka terhadap kedudukan orang Melayu.
Melalui perbincangan dengan kepimpinan UMNO, 80 peratus orang Cina memberikan kerakyatan oleh Dato Onn Jaffar pada tahun 1950. Dato Onn dan Tunku bersetuju memberi geran kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Aliran Cina. Orang Cina juga diberikan kepentingan politik, ekonomi dan budaya
Namun begitu tuntutan politik Cina untuk mendapat hak warganegara samarata dengan menolak hak kedudukan Istimewa orang Melayu yang telah diperakui dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan 1957, jadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi dan politik multikulturalisme dari era Tan Cheng Lock, MCA semasa dalam Perikatan-Barisian Nasional, DAP dalam Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan sentiasa kesemuanya ditolak.
Kesemua parti-parti politik Cina di Malaysia sudah berhadapan dengan tuntutan-tuntutan ini ditolak dari era sebelum merdeka melalui MCA, golongan kanan dan kiri Cina sehingga kini DAP pun akan berhadapan dengan nasib yang sama.
Dalam Kerajaan Perpaduan hari ini kita perhatikan desakan dan tuntutan di era sebelum Merdeka masih dicubakan lagi melalui bendera jalur gemilang terbalik, pemaparan bendara negara China, persoalkan isu halal JAKIM, mempersoal RUU Mufti Wilayah Persekutuan, stoking dengan tulisan Allah, tulisan Mandarin di bandar Gopeng, institusi Pendidikan Cina tolak pelarasan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular dsbnya.
Politik radikal Cina ini gagal memahami sejarah, sistem sosio-politik Kesultanan Melayu dan kewatanan Melayu, orang Asli, Bumiputera Sabahb dan Sabah sebagai pentakrif dan warisan bangsa Malaysia pada hari ini.
Yang paling menakutkan apa berlaku semasa Kerajaan Pakatan Harapan dan pada masa sekarang kepada Kerajaan Perpaduan, masing-masing menteri bermain dengan agenda perkauman dan menafikan agenda kebangsaan.
Kerajaan-kerajaan ini seperti berpadu tetapi pelaksanaan dasar dan program lebih mengambarkan menteri-menteri di kementerian masing-masing sedang bermain dengan satu permainan bahaya sebagai little napoleon dan memerintah ‘negara bangsa’ kecil masing-masing.
Untuk selamat dan menstabilkan politik negara ini elit politik perlu utamakan agenda kebangsaan demi rakyat dan bangsa dan bukan bermain dengan api perkauman demi perut mereka sendiri.
Peringatan diberikan oleh Tunku, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan dan Tun Mahathir supaya kita malayanised jati diri kita dan taat setia sebagai satu bangsa kepada negara Malaysia perlu dipegang erat bersama.
-Tamat
Penulis : Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com