TERKINI

‘Refor-mistik’

Saya menulis disini bukan sekadar bersuara, tetapi untuk mengingatkan diri kita tentang satu perkara: bahawa dalam politik, janji itu murah dan pengkhianatan terhadap harapan rakyat adalah hutang yang tidak pernah terbayar.

Orang tua-tua pernah berpesan, ‘Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.’ Maka bila janji dikhianati, adakah kita ini lebih hina daripada kerbau yang setia?

Suatu ketika dahulu, kita diajar bahawa reformasi itu adalah denyut nadi perjuangan. Bahawa kuasa bukan untuk memuaskan nafsu, tetapi alat untuk mengangkat martabat rakyat. Nama ‘rakyat’ diwiridkan siang dan malam.

Namun setelah kuasa itu digenggam, mengapa pula reformasi itu berubah menjadi refor-mistik — tiba-tiba ghaib — semangatnya berkobar hanya ketika di luar, namun pudar sebaik sahaja berada di dalam koridor kuasa.

Dulu, kita dengar janji tentang kerajaan bebas rasuah. Tetapi kini, ‘bagai musang berbulu ayam’, musuh ketidakadilan yang dulunya dimaki, kini dipeluk erat di meja kuasa.

Dulu, kita dijanjikan keadilan sejagat. Tetapi hari ini, undang-undang kelihatan seperti permainan tali, tarik longgar untuk sahabat, ikat ketat untuk lawan.

Dulu, kita dimomokkan bahawa rakyat akan menjadi keutamaan. Namun kini, rakyat menjadi seperti pelanduk di tengah-tengah gajah berjuang, diinjak kiri dan kanan tanpa suara yang kedengaran.

Mungkin inilah definisi baharu reformasi — ‘seperti air di daun keladi’, tidak melekat, tidak berbekas. Rakyat sekadar dijadikan latar kepada pidato agung, sementara hidup mereka terus dicekik oleh realiti yang pahit.

Saya tidak menulis di sini untuk menghukum sesiapa. Cuma mengingatkan, bahawa dalam kata-kata seorang pemikir, ‘pembohongan yang diulang-ulang akan menjadi kebenaran — tetapi tidak di mata rakyat yang celik.

Wahai Rakyat Malaysia, sejarah tidak menulis nama orang yang hanya pandai berjanji. Sejarah hanya mengingati mereka yang berani menunaikan janji. Pilihan itu tetap di tangan kita — sama ada terus mempercayai dongeng, atau bangkit menulis lembaran baru dengan tangan sendiri.

Oleh : Mueza – Seorang pengamat politik

Facebook
Twitter
WhatsApp