BERSATU MENUJU KEJAYAAN
Pemilihan BERSATU 2024 menandakan betapa suburnya demokrasi dalam wadah politik ini. Setiap calon yang bertanding serta perwakilan yang akan memilih harus merayakan pesta demokrasi ini dengan penuh kesedaran, tanggungjawab dan semangat kekeluargaan demi mencapai objektif untuk memperkukuhkan parti. Kita mahu membangunkan pasukan yang terbaik untuk maju ke medan perang.
Musuh sedang memerhatikan kita. Mereka berbangga dengan kemenangan demi kemenangan yang dicapai hasil persekongkolan pemimpin mereka. Walhal sekalian rakyat tahu bahawa puak-puak ini bersekongkol demi menyelamatkan kepentingan masing-masing. Sementara kita mengikat persefahaman berasaskan prinsip yang jujur serta keikhlasan untuk menyelamatkan rakyat dan negara, tapak sokongan kita tetap kekal di Nenggiri dan Mahkota.
BERSATU harus menyuntik dinamisme baharu untuk menyelamatkan Malaysia. Biarpun ada kalangan kita yang kecewa dan mengalami political fatigue, namun pejuang yang tulen dan istiqamah tidak pernah sekali-kali berundur.
Pemilihan ini akan membuka ruang yang luas untuk menggalang lebih banyak potensi dan bakat-bakat baru. Kepimpinan yang akan dipilih, akan membentuk kabinet perang yang pastinya lebih dinamik, berdaya dan progresif. Justeru, kita harus terbuka untuk bekerja dan berjuang dengan seluruh kekuatan yang ada, tanpa mengira jalur dan latar sejarah masing-masing. Yang menang akan memimpin, yang kalah harus dirangkul. Setiap ahli BERSATU adalah aset kepada parti.
Puak dan factionalism adalah barah untuk BERSATU. BERSATU adalah wadah untuk semua. BERSATU adalah wadah seluruh rakyat Malaysia. ARMADA bukan milik kita. ARMADA bukan milik mereka sahaja. ARMADA bukan milik siapa-siapa. ARMADA milik seluruh anak muda Malaysia.
Ayuh kita menggembleng tenaga, ayuh kita menggembleng kekuatan. Wahai seluruh anak muda yang sebangsa dan setanah-air. Ayuh kita deklarasikan Testament Politik Armada;
Armada Untuk Semua!
Bersatu Menuju Kejayaan!
-Tamat
Hilman Idham, Petaling Jaya – 4 Oktober 2024
Hilman telah dinobatkan sebagai Ketua Armada Bersatu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Gombak Setia