TERKINI

Tumpu Usaha Pengampunan Penuh, Bukan Titah Adendum

Ibrahim Ali (kiri) – malayadaily.com

UMNO akan turun bersama 200 buah bas dan belum dikira yang akan datang bersendirian. PAS buat keputusan untuk menyokong dan turut serta. Ada pihak tuduh menanguk di air yang keruh.

DAP melenting bila UMNO bersama PAS atas nama solidariti bersama Dato Seri Najib Razak (DSRN). DAP dan PAS berbalas kenyataan kecam mengecam. MCA dan MIC tidak mahu ketinggalan meraih publisiti politik juga umum mengarah ahli-ahlinya turut serta.

Maka gegak gempitalah Solidariti Bersama DSRN pada 6.1.2025 seperti guruh bunyi di langgit apatah lagi ada pihak mengeluarkan kenyataan solidariti ini membahayakan kerajaan Madani dan kedudukan PMX.

Rasanya mungkin ada pihak tertentu menasihati PMX supaya PMX menasihati Agung untuk mengeluarkan kenyataan dari Istana mengenai prosedur Pengampunan kepada seseorang banduan. Maka Istana mengeluarkan titah pada 2.1.2025 mengenai apa saja hal Pengampunan adalah kuasa Agung yang mendapat nasihat dari Lembaga Pengampunan bukan Mahkamah.

Serta-merta UMNO mengelûarkan kenyataan pada 3.1.2025 membatalkan cadangan perhimpunan solidariti di hadapan Istana Kehakiman pada 6.1.2025 kerana menghormati dan menjunjung titah di Raja. Terkejut semua pihak dan tersenyum PMX dan Presiden Umno.

Umno menguna titah Istana sebagai alasan ‘face saving’ untuk membatalkan cadangan solidariti. Apa lagi alasan terbaik selain dari menjunjung titah Istana. Solidariti UMNO bersama PAS menyokong DSNR pada 6.1.2025 yang amat ditakuti oleh PMX dan kecaman oleh DAP yang boleh menyebabkan DAP tarik diri dari kerajaan Madani atau orang Umno yang sokong DSNR terus mengecam kerajaan Madani.

Masalah selesai dengan titah Istana bila Perhimpunan Solidariti dibatalkan. PAS juga menyumbang apabila perhimpunan ini di batalkan kerana PAS memberi sokongan untuk sertai yang dikatakan PAS menanguk di air yang keruh.

Dari sudut politik PMX selamat kerana Titah Istana. Dengan lontaran satu batu semua burung gagak menyembah bumi. Dari awal lagi saya dah jangka Perhimpunan ini tidak akan jadi bila riuh rendah seperti biasa bunyi guruh kuat tapi hujan tak turun. Mana ada ayam jantan bertelur. Ayam jantan hanya berkokok.

Sebab itu saya cadang dari awal tumpu kepada usaha mendapat pengampunan penuh untuk DSNR dan bukan kalut dan riuh dengan isu Adendum. Isu Adendum hanya untuk tahanan dalam rumah. Burung dalam sangkar emas pun mahu terbang bebas.

Walahualam. Allah Maha Mengetahui. Manusia merancang tapi Allah yang menentukannya.

Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali – Presiden PUTRA

Facebook
Twitter
WhatsApp