TERKINI

Tun M sebagai Penasihat Ekonomi, Bukan Politik

Khairuddin Abu Hassan (kanan/belakang) – foto Awani

Fahmi Fadzil harus mengambil pendekatan jangan campuri urusan yang beliau tidak faham kerana lebih banyak bercakap akan menyerlahkan lagi kebodohannya.

Inilah mentaliti dan taraf menteri yang ada pada hari ini yang semakin hari semakin merosakkan halatuju kepimpinan negara.

Sebab itu kedudukan pentadbiran negara kita saban hari semakin merosot teruk.

Apa yang Fahmi Fadzil faham tentang perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘Penasihat Kehormat SG4?’

Untuk makluman Fahmi Fadzil, menteri taraf ‘cap ayam’, perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘Penasihat Kehormat SG4’ adalah merangkumi tanggungjawab dalam bidang pembangunan ekonomi di Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan semata-mata tanpa melangkaui atau terlibat dalam bidang politik.

Peranan dan tanggungjawab Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah untuk menasihati seterusnya membantu pembangunan ekonomi di keempat buah negeri tersebut.

Matlamatnya, adalah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pengalaman beliau selaku tokoh negarawan yang pernah membangunkan Malaysia sehingga dikenali sebagai ‘Asian Tiger’ pada era emas kepimpinan beliau suatu masa dahulu.

Khidmat nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk mengulangi legasi tersebut di negeri-negeri ‘SG4.’

Peranan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk merancang bagi membangunkan serta memajukan kedudukan ekonomi negeri-negeri di bawah ‘SG4’ setaraf atau melebihi dari kemajuan negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Ini sesuatu yang amat tidak mustahil kerana negeri-negeri ‘SG4’ masih kaya dengan pelbagai hasil-mahsul alam yang masih belum di ‘explore.’

Insya-Allah, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sedang menyusun-atur bagi membawa pelaburan dari luar negara serta dalam negeri sebagai pemangkin untuk membangunkan prestasi ekonomi di ‘SG4.’

Ianya juga akan dilakukan secara sistematik, terancang dan berterusan bagi mencapai objektif tersebut.

Pembahagian tugasan amat jelas yakni segala khidmat nasihat Tun Dr Mahathir Mahomad hanyalah sebagai penasihat di bidang ekonomi tanpa mencampuri urusan politik.

Sudah banyak kali Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa beliau hanya mahu tumpu menasihati di bidang pembangunan ekonomi semata-mata tanpa mencampuri urusan politik di ‘SG4.’

Matlamat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk memantapkan pencapaian ekonomi di ‘SG4’ seterusnya memakmurkan pendapatan setiap rakyat di negeri-negeri ini agar mempunyai ‘kuasa beli’ yang kuat bagi mengatasi kos sara hidup seharian mereka secara lebih baik.

Sebagai pengetahuan umum Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini juga Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berminat langsung untuk main politik dalam perlantikan sebagai ‘Penasihat Kehormat SG4’ tetapi matlamat utama beliau adalah untuk membuktikan bahawa kepimpinan Melayu di empat negeri ini juga mampu membangunkan prestasi ekonomi cemerlang setanding dengan negeri-negeri maju lain di Semenanjung Malaysia.

Sekiranya pada suatu masa dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad boleh mengangkat martabat negara dalam segenap bidang hingga diakui oleh dunia luar dan tidak mustahil kali ini beliau akan mengulangi kecemerlangan ini di ‘SG4.’ Insya-Allah!! Ameen!!

Khairuddin Abu Hassan, Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp