Berkongsi catatan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir di Thechedet.com dan disiarkan pada 19 Julai 2024 dengan tajuk “The Rakyat”.
Tun Dr. Mahathir mengingatkan tentang keadaan di mana negeri-negeri Melayu tidak bersatu dan menjadi lemah, pihak British telah mengambil kesempatan dan memanipulasi keadaan.
Atas kelemahan negeri-negeri Melayu pada ketika itu, British menyerahkan empat buah wilayah negeri Melayu di utara Semenanjung dengan mengetahui tiada satu pun negeri Melayu yang mampu untuk membantah apatah lagi menghalang.
Dengan keadaan lemahnya negeri-negeri Melayu ini jugalah, pihak British berjaya menggunakan taktik mempengaruhi dan mengugut Raja-raja Melayu untuk menandatangani dan bersetuju dengan cadangan penubuhan Malayan Union yang membawa maksud terhakisnya kuasa mutlak orang Melayu di atas Tanah Melayu ini.
Dalam keadaan kegagalan pemimpin dan pemerintah Melayu mempertahankan kuasa orang Melayu, rakyat terutamanya orang Melayu telah bersatu dan bersepakat untuk menentang penubuhan Malayan Union.
Setelah berjaya membatalkan usaha penubuhan Malayan Union, orang Melayu menyerahkan kembali kuasa kepada Raja-raja Melayu tanpa mengambil kesempatan menjadikan negara ini sebuah republik.
Catatan ini bukan diambil dari mana-mana buku sejarah, tetapi dibuat oleh saksi yang masih hidup. Saksi yang pada ketika itu merasai, mengalami, dan memahami apa yang sedang berlaku. Tun Dr. Mahathir pada ketika itu di awal 20-an dan sedang menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura.
Hari ini kita dapat merasakan, hak kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam mula diusik-usik. Dari isu cadangan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera, isu kemasukan matrikulasi, isu perkataan Allah di sarung kaki dan beberapa lagi.
Hasil dari isu-isu yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam ini telah memberi gambaran seolah-olah pemimpin Melayu yang di atas hari ini gagal untuk mempertahankannya. Malah ada ketika seolah-olah menyokong, sehingga ada yang sendiri mencadangkan.
Apabila pemimpin-pemimpin Melayu sendiri telah gagal mempertahankan hak kedudukan orang Melayu dan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu mempunyai kemampuan untuk bersatu dan bersepakat mempertahankannya sendiri mengikut lunas-lunas dan proses demokrasi yang ada pada hari ini.
Dalam perbincangan kami, Tun Dr. Mahathir menzahirkan bahawa beliau percaya orang Melayu boleh bersatu, kerana Tun Dr. Mahathir telah melihat sendiri hasilnya bila orang Melayu bersepakat.
Malah sejarah juga telah membuktikan kemampuan dan kekuatan orang Melayu apabila bersatu seperti kejayaan yang pernah dicapai sewaktu menolak penubuhan Malayan Union.
Azman Mohd Hashim – SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com