TERKINI

Cabaran Mengemudi GLC Dalam Suasana Sukar

Kerajaan Perpaduan hari ini telah banyak melantik orang politik menerajui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Malayadaily berpeluang menemubual usahawan yang juga aktivis politik, yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan korporat dibeberapa syarikat GLC.

Fyzul Adzwan bin Mustapha Kamal yang berkelulusan kewangan dan akauntan dari University of Kent at Canterbury telah mencurah khidmat bakti di beberapa GLC penting seperti Renong (UEM Group), Khazanah, DRB Hicom dan Proton selama hampir 17 tahun.

Fyzul Adzwan bin Mustapha Kamal – foto malayadaily.com

MD.com : Apakah perkara terpenting dalam memastikan kejayaan pentadbiran pengurusan korporat syarikat GLC?

Fyzul : Paling utama sekali ialah kepimpinan. Hala tuju syarikat bergantung kepada siapa yang memegang atau menerajui syarikat tersebut.

Perlu ada kepimpinan yang kuat.

Saya rumuskan 3 perkara yang perlu ada, pertama kena pandai; kena tahu bagaimana nak buat kerja, tak boleh ambil serkap jarang.

Kedua, dia kena rajin. Ketua kena banyak korban masa sendiri. Pekerja bekerja dari 9-5 tak apa, tapi ketua perlu sentiasa kerja lebih masa dan ketua mesti menjadi penjual (salesman) nombor satu.

Ketiga, yang sangat-sangat penting adalah integriti. Syarikat perlu diurus dengan integriti, kena ingat syarikat ini milik awam. Ada kes ketua syarikat salahguna kedudukan dalam syarikat, bila kena tangkap yang buruk nama syarikat. Keuntungan syarikat terjejas.

Perkara ini, bergantung kepada pemimpin syarikat.

MD.com : Jika kejayaan GLC ini bergantung kepada ketua atau kepimpinan syarikat, adakah ini menjadi justifikasi mengapa kerajaan melantik ramai pemimpin politik ke jawatan GLC, atas alasan mereka boleh memimpin?

Fyzul : Seperti yang saya sebut, ada 3 elemen penting. Pertama pandai, dalam erti kata ketua itu tahu hal ehwal industri tersebut, tahu bagaimana mahu mengurus.

Jika ketua hanya lepasan SPM, bagaimana dia nak memimpin syarikat pelaburan yang mana istillah pelaburan ini pelbagai dan banyak.

Jika dia tidak tahu atau tidak cepat belajar, dia mudah ditipu oleh ejen-ejen pelaburan. Ini akan menyebabkan syarikat tanggung kerugian.

Namun, cara terbaik ialah perlu keseimbangan dalam melantik ketua di GLC. Tetapi, yang dipilih mesti tahu hal ehwal pengurusan korporat, tahu industri, kemahiran teknikal, tahu baca laporan kewangan.

Ada kes ketua yang dilantik tak tahu hal ehwal pemasaran, tak faham istillah-istillah teknikal, tak tahu baca laporan kewangan.

Jika lantik ketua yang tak tahu hal korporat, sungguhpun dia akan diberi nasihat kena ingat jika nasihat yang diberi itu tak betul, dia tak tahu nak betulkan.

Ada situasi dimana pengerusi GLC yang dilantik menyalahgunakan kedudukan dia untuk memberi kontrak kepada sesetengah orang yang dia percaya dikalangan dia.

Di zaman Tun Mahathir, ketua yang dilantik dalam GLC adalah orang-orang yang berpengalaman, yang layak untuk tempat itu.

Namun (lantikan orang politik) semua ini bermula di zaman Najib menjadi Perdana Menteri. Zaman ini GLC jadi ‘political tools’.

MD.com : Apa langkah terbaik dalam konteks isu pengurusan GLC ini?

Fyzul : Perlu cari dan pilih ketua yang sesuai berdasarkan keperluan GLC tersebut, yang benar-benar boleh memimpin syarikat itu. Ada kepakaran dan berpengalaman. Jadi, lantikan ini tak boleh jadi atau dilihat lantikan politik untuk orang politik.

Pada dasarnya, lantikan seperti ini perlu ikut garis panduan daripada kementerian kewangan (MOF), ia akan beri panduan bagaimana mereka nak bergerak mengikut agenda kerajaan yang nak dibawa. Jadi kerajaan akan memantau melalui MOF.

Kena ingat, tugas GLC/GLIC ialah untuk mencari keuntungan, kedua dia kena bantu masyarakat dalam erti kata membuka peluang pekerjaan dan pada masa yang sama perlu memperbesarkan perniagaan syarikat.

Ada GLC yang tak boleh dijual kepada orang luar sebab ia aset strategik kerajaan, yakni rakyat.

MD.com : Ada hujah kata, sesetengah ahli politik sekarang ada kelulusan atau kelayakan dalam bidang-bidang kepakaran mereka. Bagimana tu?

Fyzul : Betul, sebagai contoh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan (Menteri Pertahanan), dulu sebelum masuk politik, dia ‘banker’. Jo Ghani pula adalah seorang akauntan dengan tauliah ACCA. Orang-orang begini, dia tahu dan faham bagaimana nak mengurus.

Namun, sebaik-baiknya lantik mereka yang professional. Dia tak boleh lantik sebagai ‘reward’ (habuan) politik untuk orang politik. Lantikan itu perlu lihat untuk kebaikan syarikat, bukan politik.

Ribuan orang bekerja dengan syarikat GLC, sekiranya tak diurus dengan betul, penyelewengan berlaku, hala tuju dan polisi syarikat tak menentu, yang paling rugi ialah para pekerja syarikat tersebut.

MD.com : Apa cabaran syarikat GLC zaman ini dalam konteks persaingan industri?

Fyzul : Sepertimana syarikat lain dalam suasana ekonomi yang tak begitu baik, GLC perlu memperbaiki prestasi jualan dan keduanya mereka perlu kawal dan turunkan kos.

Ini dua perkara yang paling sukar untuk dihadapi. Pengurusan kewangan jadi isu yang sangat penting, mereka kena bijak mengurus kewangan ketika situasi ekonomi sebegini.

Cabaran terbesar GLC ialah, mereka perlu mengimbangi antara keuntungan dan tanggungjawab terhadap masyaraka. Contoh, GLC perlu elakkan dari membuang pekerja kerana itu adalah tanggungjawab GLC.

SEKIAN

Facebook
Twitter
WhatsApp