TERKINI

NASA rai ulang tahun ke-25 ISS

Gambar hiasan, ISS – foto TS2 Space

NEW YORK, 8 Dis 2023 – Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat NASA pada Rabu meraikan ulang tahun ke-25 permulaan operasi Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Timbalan ketua eksekutif NASA Bob Cabana dan Pengurus Program ISS Joel Montalbano berbual di telefon selama kira-kira setengah jam dengan angkasawan yang kini berada di ISS – tujuh lelaki dan wanita dari Amerika Syarikat, Denmark, Jepun dan Rusia.

Tepat 25 tahun lepas pada hari Rabu, dua modul pertama Unity dan Zarya disambung menjadi satu. Modul Rusia Zarya dilancarkan ke angkasa kira-kira tiga minggu lebih awal. Cabana pula merupakan modul pertama Amerika yang memasuki ISS.

“Saya tidak percaya 25 tahun yang lalu kami berjaya menyambungkan Zarya dengan Unity. Sangat mengagumkan,” katanya dalam perbualan itu.

Sejak itu, stesen itu telah mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari pada ketinggian kira-kira 400 kilometer. ISS adalah projek bersama agensi angkasa lepas Rusia, Kanada, Jepun, Eropah dan AS yang dilancarkan sebagai projek antarabangsa selepas berakhirnya Perang Dingin.

Selepas dua modul pertama itu bersambung, ISS terus berkembang dan saiznya kini kira-kira seluas padang bola sepak dengan enam bilik tidur, dua bilik air, gim dan tingkap panoramik.

Pengembara angkasa telah menjalankan penyelidikan di makmal angkasa ini tanpa henti sejak tahun 2000. Matthias Maurer merupakan rakyat Jerman terakhir yang berada di stesen itu dari tahun 2021 hingga 2022. Kos keseluruhan melebihi US$100 bilion.

Walaupun stesen itu diselenggara, diubah suai dan ditingkatkan, teknologi ISS tidak lagi terkini. Berlaku kerosakan, kecacatan, kebocoran serta masalah, termasuk situasi politik global semasa yang tidak membantu operasi ISS.

Terdapat persetujuan secara menyeluruh bahawa ISS masih boleh diurus bersama-sama sehingga kira-kira akhir dekad ini dan selepas itu, berkemungkin ia dibiarkan menjunam ke Pasifik secara terkawal. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp