NEW YORK, 19 Sept 2023 – Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bertujuan untuk merangsang tindakan global ke atas pembangunan mampan membuka tirainya pada Isnin di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Sidang kemuncak dua hari itu memberi peluang kepada para pemimpin dunia yang berhimpun setiap tahun di New York sempena Perhimpunan Agung PBB, untuk mengetahui tahap kemajuan atau kekurangan dalam pelaksanaan SDG yang kini sudah sampai di peringkat pertengahan.
Dalam ucapan pembukaan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa sebuah pelan menyelamat global untuk SDG disediakan memandangkan pada peringkat ini hanya 15 peratus daripada sasaran berjalan mengikut jadual, lapor Xinhua.
Oleh itu, SDG memerlukan pelan menyelamat global, katanya.
Guterres menggesa supaya tindakan segera dilakukan bagi mengurangkan kebuluran, peralihan segera kepada tenaga boleh baharu, meluaskan manfaat dan peluang pendigitalan, pendidikan yang lebih baik untuk kanak-kanak dan belia, kerja yang baik dan perlindungan sosial selain dan tindakan iklim.
Lapan tahun lepas, negara anggota PBB menerima pakai SDG, yang merupakan janji kerajaan kepada rakyat, yang bukan sekadar senarai matlamat, sebaliknya membawa harapan, impian, hak dan jangkaan orang ramai dan menyediakan laluan pasti untuk menunaikan kewajipan kerajaan di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang kini memasuki tahun ke-75, kata Gutteres.
Kini, separuh jalan menuju ke tarikh akhir SDG, masyarakat di seluruh dunia menuntut tindakan segera, katanya.
Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Dennis Francis dalam ucapan pembukaannya turut menggesa pemimpin dunia supaya kembali komited kepada SDG.
Beliau berkata, gabungan faktor termasuk kesan pandemik COVID-19, perubahan iklim dan konflik Ukraine, telah mencetuskan siri krisis yang kompleks dan bersilang.
Walaupun komitmen untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan kebuluran menjadi teras agenda ini, malangnya 1.2 bilion orang masih hidup dalam kemiskinan pelbagai dimensi setakat 2022, dengan kira-kira lapan peratus daripada populasi global atau 680 juta orang akan terus menghadapi kebuluran pada 2030, kata Francis.
“Walaupun wujud halangan, kita tidak boleh berputus asa dan kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan SDG. … Hakikat bahawa kita ketinggalan dalam janji kita, sidang kemuncak ini tidak harus dijadikan forum untuk menuding jari, memindahkan kesalahan, menerima kekalahan, sebaliknya mengutamakan tindakan berani dan transformatif dalam menyokong kesejahteraan masyarakat global, terutama yang sangat memerlukannya.
“Ini adalah masa mendedikasikan semula diri kita kepada SDG, menyemarakkan semula kemajuan merentasi keseluruhan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan,” katanya.
Francis mencabar pemimpin dunia supaya menunjukkan kepimpinan yang berani dan mengumumkan kejayaan masing-masing pada sidang kemuncak ini ke arah menyokong dan melengkapkan Agenda 2030.
“Sementara kita mengharungi cabaran mendatang, SDG akan kekal sebagai pelan tindakan sebenar untuk manusia dan akan terus menjadi tunggak panduan kami dalam merealisasikan keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua orang, walau di mana sahaja,” katanya.
Satu deklarasi politik juga diterima pakai pada sidang kemuncak pada Isnin, dengan pemimpin dunia mengesahkan komitmen mereka untuk “melaksanakan Agenda 2030 dan SDGnya dengan berkesan dan menegakkan semua prinsip yang termaktub di dalamnya.”
“Agenda 2030 kekal sebagai pelan tindakan menyeluruh kami untuk mencapai pembangunan mampan dan mengatasi pelbagai krisis yang dihadapi,bertindak segera untuk merealisasikan visinya sebagai pelan tindakan untuk manusia, planet, kemakmuran, keamanan dan perkongsian, tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang,” menurut kenyataan deklarasi itu.
Para pemimpin menekankan bahawa pembasmian kemiskinan adalah cabaran global terbesar dan keperluan yang sangat diperlukan untuk pembangunan mampan.
Mereka juga komited untuk mencari penyelesaian yang aman dan adil terhadap sebarang pertikaian dan menghormati undang-undang antarabangsa serta tujuan dan prinsip Piagam PBB. – Bernama