Mari kita bercakap dengan tenang dan jujur.
Mari kita buang ego, buang defensif, buang kenangan lama.
Kerana jika kebenaran ini tidak dihadam hari ini, ia akan terus menghantui generasi akan datang.
Jika orang Melayu hari ini lemah dari segi ekonomi, Melayu tidak boleh lari daripada tanggungjawab sejarah itu. Ini bukan tuduhan rambang. Ini adalah fakta yang benar. Melayu bukan kelompok kecil. Melayu bukan bangsa picisan. Melayu telah memegang tampuk kuasa politik negara ini terlalu lama untuk berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku.
Sejak merdeka, kuasa politik berada di tangan Melayu. Dasar negara dibentuk oleh Melayu. Institusi kerajaan dipenuhi orang Melayu. Mandat orang kampung diberi tanpa syarat kepada pemimpin Melayu. Atas nama itulah Melayu berdiri sebagai pelindung bangsa dan agama.
Namun hari ini, soalan yang paling menyakitkan perlu ditanya dengan jujur. Jika ini hasil perlindungan Melayu, apakah sebenarnya yang telah dipertahankan selama ini?
Struktur ekonomi negara tidak pernah benar-benar dirombak. Bandar dibangunkan tanpa strategi pemilikan Melayu yang mampan. Industri dibesarkan tanpa ekosistem usahawan Melayu yang berdaya tahan. Rantaian bekalan dibiarkan dikuasai pihak lain tanpa pelan pemindahan kuasa ekonomi yang jelas. Melayu tahu. Melayu sedar. Melayu nampak. Tetapi Melayu memilih jalan paling mudah.
Melayu memilih memberi projek, bukan membina kapasiti. Melayu memilih memberi kontrak, bukan membina kepakaran. Melayu memilih melahirkan kroni, bukan melahirkan pengusaha sebenar. Maka lahirlah realiti yang kita lihat hari ini. Melayu kaya hanya segelintir. Melayu bergantung menjadi majoriti.
Hari ini, ramai dalam kalangan Melayu gemar bercakap tentang ancaman luar. Gemar menyalahkan kaum lain terutama DAP. Gemar bermain sentimen. Tetapi hakikatnya, dominasi ekonomi pihak lain bukan kerana kegagalan sehari atau setahun. Ia berlaku kerana kegagalan berdekad-dekad oleh Melayu sendiri. Melayu gagal membina bangsa ini sebagai pemilik sistem. Sebaliknya Melayu membiarkan dirinya kekal sebagai pengguna, perantara dan subkontraktor kelas kedua.
Melayu gagal melatih generasinya menguasai sektor kritikal. Farmasi, logistik, mesin, perkilangan, perdagangan besar dan rantaian bekalan tidak pernah benar-benar dikuasai. Yang dilatih hanyalah satu perkara. Cara mempertahankan jawatan dan cara mengurus kuasa.
Apabila kuasa terlalu lama dipegang tanpa semak imbang, penyakit mula merebak. Kuasa tanpa ilmu menjadi kebiasaan. Jawatan tanpa kelayakan menjadi budaya. Pengaruh tanpa amanah menjadi normal. Maka lahirlah generasi pemimpin Melayu yang alergik kepada kritikan, takut kepada reform, bergantung kepada kroni dan obses dengan gaya hidup mewah.
Ironinya, gaya hidup mewah itu dibina atas sistem ekonomi yang Melayu sendiri tidak pernah kuasai. Untuk kelihatan berjaya, pemimpin membeli jenama. Untuk kelihatan kaya, pemimpin memandu kereta import. Untuk kelihatan hebat, pemimpin makan di restoran francais. Semua itu bukan milik Melayu. Semua itu dibekalkan oleh sistem yang bukan dibina oleh Melayu. Namun ia diraikan seolah-olah itulah tanda kejayaan bangsa.
Lebih menyedihkan, Melayu juga mewariskan budaya politik yang merosakkan perpaduan sosial sendiri. Politik dijadikan agama. Parti dijadikan iman. Di kampung, kenduri menjadi medan boikot. Masjid menjadi ruang sindiran. Perpaduan menjadi mangsa. Melayu bertelagah sesama sendiri bertahun-tahun sedangkan masalah sebenar bukan siapa pegang puncak kuasa, tetapi siapa pegang ekonomi.
Melayu terlalu lama memecahkan dirinya atas nama kuasa. Hari ini Melayu sendiri menjadi mangsa perpecahan yang diciptanya.
Apabila kuasa Melayu tergelincir, ia tidak jatuh dengan maruah. Ia jatuh bersama skandal, mahkamah, hukuman dan aib yang ditonton seluruh dunia. Skandal besar bukan sekadar kegagalan individu. Ia adalah simbol kegagalan sistem Melayu yang membiarkan kuasa tanpa kawalan, wang tanpa sempadan dan pemimpin tanpa ilmu.
Sering kali dikatakan ini kes individu. Tetapi sistem siapa yang melahirkan individu itu. Budaya siapa yang melindunginya. Masyarakat siapa yang mempertahankannya terlalu lama. Jawapannya jelas walaupun pahit.
Hari ini Melayu bercakap tentang kebangkitan. Tentang penyatuan bangsa. Tentang maruah dan masa depan. Tetapi generasi muda tidak lagi terpesona dengan slogan. Gen Z bertanya soalan yang lebih tajam. Di mana pelan ekonomi Melayu yang sebenar. Di mana strategi menguasai industri. Di mana pelaburan pendidikan yang serius. Di mana reform dalaman yang berani.
Selagi Melayu bercakap tentang kebangkitan tanpa bercakap tentang struktur, kita hanya menjual nostalgia. Dan nostalgia tidak membayar bil. Nostalgia tidak membina masa depan.
Hakikat paling pahit yang Melayu perlu terima ialah ini. Melayu tidak kekal miskin kerana kurang bantuan. Melayu kekal miskin kerana terlalu lama dibesarkan dalam sistem bergantung. Sistem itu dibina oleh Melayu sendiri. Budaya itu disuburkan oleh Melayu sendiri. Mentaliti itu diwariskan oleh Melayu sendiri.
Jika Melayu benar-benar mahu bangkit, Melayu perlu melakukan perkara yang paling sukar. Mengaku gagal. Memutuskan politik lama. Menolak pemimpin yang tidak layak. Meletakkan ilmu, integriti dan sistem di hadapan kuasa.
Jika tidak, Melayu tidak akan tumbang kerana musuh luar. Melayu akan layu perlahan-lahan, dimakan oleh sejarahnya sendiri.
Melayu tidak perlukan jeritan yang kuat. Melayu perlukan sistem yang betul. Dan jika Melayu masih mahu bercakap tentang maruah dan masa depan, Melayu mesti berani bercakap benar tentang dirinya sendiri.
Jika tidak, setiap laungan Melayu hanyalah gema kosong daripada sebuah bangsa yang telah lama kehilangan arah.
Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad, Kangar, Perlis, 4 Januari 2026
Artikel ini telah disiarkan di facebook milik Ahmad Fadhzil
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com