TERKINI

Wujudkan undang-undang khas kawal penggunaan plastik sekali guna – Ahli Akademik

Gambar hiasan – foto Majalah Sains

KUALA LUMPUR, 18 Jan 2024 – Ahli akademik mencadangkan kerajaan memperkenalkan satu undang-undang khas berkaitan penggunaan plastik sekali guna.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof. Madya Dr. Siti Hafsyah Idris berkata, ini bagi mengawal industri pembuatan menghasilkan produk menggunakan material berkenaan, seterusnya mengurangkan penggunaannya secara menyeluruh.

Beliau akui, walaupun negara mempunyai undang-undang alam sekitar, namun undang-undang khusus berkaitan penggunaan plastik sekali guna itu dilihat mampu mengawalnya dengan lebih efektif.

“Cuma di peringkat Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor telah wujud dan terkini Sabah bakal membuat dasar untuk pelupusan plastik,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia bertajuk Plastik: Keperluan atau Ancaman? yang disiarkan Bernama TV, semalam.

Dr. Siti Hafsyah turut mempersoalkan solusi kepada plastik sekali guna sekiranya penggunaan itu dihentikan pihak berkuasa.

Kata beliau, bagi sesetengah pasar raya menggalakkan penggunaan beg beli-belah yang dibawa pengguna ketika membeli barangan, tetapi masih ada kedai runcit menggunakan plastik sekali guna.

Beliau turut berpendapat, proses pendidikan dan pelaksanaan pengurusan serta pelupusan sisa plastik harus bermula di rumah agar dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar pada jangka masa panjang.

Menurutnya lagi, pengguna boleh menjalankan tanggungjawab mereka di rumah dengan melakukan beberapa langkah mudah seperti mengasingkan sisa sampah kepada plastik, kertas dan lain-lain yang seterusnya dibuang di pusat kitar semula.

“Kita sedar, di samping harganya yang murah, plastik mempunyai banyak kegunaan, tetapi adakah kita sedar akan kesannya kepada manusia terutama sekali bagi plastik sekali guna?,” katanya.

Dr. Siti Hafsyah berkata, produk plastik sekali guna boleh mengambil masa sehingga beberapa tahun untuk lupus serta menghasilkan toksik yang membahayakan manusia, alam sekitar serta haiwan liar. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp